Tapak kuil Penempatan Kerajaan Merong Mahawangsa Di Kepala Batas P.Pinang


KEPALA BATAS - Kawasan tapak kuil Hindu-Buddha dipercayai berusia 2,000 tahun di Kota Aur Penaga, di sini perlu diwartakan sebagai tapak warisan selain berpotensi menjadi produk pelancongan di negeri ini.

Dipercayai, tapak itu seusia dengan tapak sejarah Lembah Bujang, Kedah, sekali gus membuktikan Kota Aur pernah menjadi antara kawasan penempatan manusia terawal di Seberang Prai selain dikaitkan dengan Kerajaan Merong Mahawangsa dan Raja Bersiong.

Bukti kawasan berkenaan pernah menjadi lokasi penempatan manusia sebelum Islam dikuatkan dengan penemuan batu laterit yang biasa digunakan untuk membina tapak kuil dan batu berkenaan dikatakan sama dengan yang ditemui di Lembah Bujang.

Penduduk, Roslan Talib, 53, berkata, tapak berkenaan milik ibu mentuanya dan di situ dipercayai tertanam candi Hindu-Buddha yang ada kaitan dengan tapak sejarah Lembah Bujang serta berpotensi dibangunkan sebagai produk pelancongan.

Beliau yang juga Pensyarah di Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, 15 tahun lalu, sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalankan kerja cari gali di tapak berkenaan dan menemui tiga objek candi, tetapi kawasan itu ditimbus semula.

“Ramai yang tidak tahu berkenaan tapak kuil Hindu-Buddha di situ kerana ia tertanam dalam tanah tetapi serpihan batu laterit berongga masih kelihatan.

“Selalunya hanya di Kedah kita boleh lihat kesan runtuhan bahan sejarah tetapi jarang di Pulau Pinang.

“Saya merancang membina muzium mini di tapak ini supaya boleh dilihat orang ramai dan pelancong asing yang datang ke Inap Desa Kota Aur,” katanya.

Sumber: MyMetro