Tarik Pengawal Keselamatan Mahathir, Satu Lagi Siri "Wayang Opera" Pakatan


Politik adalah satu seni. Oleh itu, berbagai cara boleh dilakukan untuk meraih sokongan. Salah satunya ialah meraih simpati rakyat, apatah lagi pililhan raya umum semakin dekat.

Baru-baru ini tular di media sosial foto bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memeluk erat anggota Unit Tindakan Khas (UTK) yang didakwanya ditarik balik oleh kerajaan daripada mengawal keselamatan negarawan itu.

Berdasar foto itu Dr. Mahathir dan pengiring itu menangis hiba.

Berikutan itu, para penyokong Pengerusi Pakatan Harapan rasa marah yang amat sangat kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak dan tidak kurang juga yang bersimpati terhadap 'nasib malang yang menimpa'  Dr. Mahathir kerana 'kehilangan' pengawal keselamatannya.

Ianya kemudian dijaja dalam ceramah politik parti pembangkang.

Bagaimanapun dakwaan itu tidak benar dan 'drama sedih' itu sengaja dimainkan semula  untuk meraih simpati rakyat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bagaimanapun semalam  tampil untuk menjelaskan kedudukan yang sebenar.

Beliau berkata pihaknya masih mengekalkan anggota UTK bagi mengiring dan mengawal keselamatan Dr Mahathir termasuk di rumah.

"Mana ada UTK (ditarik), polis masih kekalkan anggota UTK (mengawal keselamatan) untuk Dr Mahathir," katanya ketika dihubungi BERNAMA di sini, malam tadi.

Mohamad Fuzi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan yang dimuat naik Dr Mahathir di laman sosialnya kononnya anggota UTK yang ditugaskan untuk mengawal keselamatannya telah ditarik balik pada Rabu lalu.

Kenyataan memuat naik bekas perdana menteri memeluk anggota UTK itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang menganggap tindakan itu keterlaluan.

Bagaimanapun respons daripada orang ramai terhadap dakwaan menarik balik pengawal keselamatan Dr. Mahathir itu, walaupun tidak benar, akan dikutip sebagai bahan berita oleh portal propembangkang. - Kedahnews.com