TERENGGANU sedia untuk menghantar Skuad Sukarelawan Tranformasi Terengganu Baharu (TTB) bagi membantu kerajaan Pulau Pinang yang sedang berhadapan dengan bencana banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat berkata, kerajaan negeri sedang memantau banjir yang sedang melanda beberapa negeri terutamanya di Pulau Pinang.
Menurutnya, penghantaran sukarelawan berkenaan ke Pulau Pinang akan dilakukan berdasarkan keperluan tetapi kerajaan Pulau Pinang belum minta untuk mendapatkan bantuan.
Katanya, kerajaan negeri sudah bersiap siaga bukan hanya untuk membantu mangsa di Pulau Pinang tetapi di Kedah dan Perak yang juga terdapat mangsa dipindahkan.
"Anggota Skuad Sukarelawan TTB juga diminta bersiap sedia untuk dihantar bertugas di beberapa negeri yang sedang dilanda banjir itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, jika keadaan banjir yang sedang melanda bertambah buruk, Skuad Sukarelawan TTB akan dihantar untuk membantu termasuk selepas keadaan pulih.
"Kita dimaklumkan, Kerajaan Pusat sudah menghantar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke negeri itu, manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari beberapa negeri sudah bersiap siaga untuk dihantar bertugas ke negeri itu," katanya.
Sumber: MyMetro