TERKINI: "KFA Belum Hubungi Saya" - Ramon Marcote


ALOR SETAR - Bekas penolong Ketua Jurulatih Kedah, Ramon Marcote menjelaskan bahawa masih belum ada wakil daripada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang menghubungi beliau untuk membincangkan sebarang kontrak sehingga ini.

Marco ketika dihubungi Kedahnews.com sebentar tadi berkata, beliau turut mengikuti perkembangan terkini berkenaan gosip bola sepak Lang Merah yang dikaitkan dengan bekas Ketua Jurulatih JDT, Mario Gomez.

"Saya maklum dengan perkembangan terkini skuad bola sepak di Kedah, tapi saya belum menerima apa-apa tawaran dari KFA sehingga kini," kata Marco kepada Kedahnews.com.

Marco berkata, beliau memahami kehendak penyokong Hijau Kuning yang lebih cenderung memilih dirinya untuk mengemudi skuad Lang Merah berbanding Gomez, namun beliau tidak dapat berbuat apa-apa selagi belum menerima sebarang tawaran dari KFA.

"Saya belum menerima sebarang tawaran, maka kami (Marco dan KFA) tidak dapat memulakan sebarang rundingan.

"Itu perkembangan terkini dari saya buat masa ini, namun saya tidak tahu kemungkinan yang akan berlaku pada masa akan datang," jelas Marco yang kini mengesahkan dirinya sedang berada di Madrid, Sepanyol.

Namun begitu, Marco tetap kekal positif dan berharap untuk tidak menghampakan harapan semua penyokong Hijau Kuning yang mahukan beliau mengemudi Lang Merah pada musim depan.

"Saya harap sesuatu akan berlaku dalam masa terdekat, namun buat masa ini, itu sajalah dari saya," kata bekas penolong jurulatih skuad kelab ternama liga Sepanyol, Athletico Madrid itu. 

Kecoh diperkatakan tentang laporan sebuah akhbar mengenai kenyataan Gomez yang mengaku dihubungi KFA untuk berbincang mengenai kemungkinan mengikat kontrak sebagai Ketua Jurulatih Kedah pada musim depan.

Sebelum itu, pemilik syarikat penaja utama Lang Merah, Ginney Chew memulakan kempen untuk membawa Marco kembali ke Kedah sebagai Ketua Jurulatih Kedah setelah penyandangnya, Nidzam Adzha Yusoff sedia berundur sebagai penolong pada musim depan.

Berjaya mencapai 25,000 like pada postingnya baru-baru ini, Pengarah ECK Group Sdn Berhad itu menyatakan kesediaannya untuk cuba sedaya upaya mendapatkan persetujuan daripada KFA untuk membawa Marco mengemudi cabaran Lang Merah.

Susulan dari gosip berhubung isu Gomez tersebut, Ginney meminta supaya semua penyokong Lang Merah bersabar menunggu kenyataan rasmi dari KFA dan menegaskan kenyataan Gomez itu sebagai tidak sah. - Kedahnews.com