Terus ‘Glamor’ Lepas Pecah Kereta Orang


SUDAH buat salah, ingat senang-senang boleh lari? Sama ada cepat atau lambat, si penjenayah pasti akan menerima balasan yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukannya.

Bagi penyamun malang ini, balasan segera menimpa diri apabila telefon bimbitnya yang tertinggal ketika melakukan jenayah telah ‘dimanfaatkan’ sebaik-baiknya oleh mangsa.

Menurut laporan Harian Metro, mangsa, Shahizan Yusti, 32, bertindak menggodam laman Facebook dipercayai milik pencuri yang memecahkan keretanya selepas menjumpai sebuah telefon pintar yang ditinggalkan berhampiran kenderaan.

Malah dia mengambil kesempatan memuat naik status yang pastinya membuatkan si pencuri ‘hidup segan mati tak mahu’!

“Hai kawan-kawan dan sesiapa yang mengenali saya. Tak lama lagi saya nak meringkuk dalam penjara.

“Biasalah hidup sebagai seorang penyamun kadang makan besar kadang-kadang makan tak habis,” tulisnya di akaun Facebook bernama Mohd Riduwan Iwan.

Status berkenaan yang dimuat naik pada Sabtu telah menjadi ‘bahan’ di kalangan netizen sehingga menerima lebih daripada 300 perkongsian dilaman Facebook.

Menurut Shahizan, dia pada hari kejadian keluar memancing dengan rakannya manakala isterinya pula tidak berada di rumah.

Pun begitu, dia mula mengetahui kenderaanya dipecah apabila isterinya pulang pada jam 10 malam dan bapa mentuanya terjumpa sebuah telefom bimbit jenis iPhone 4 di tepi kenderaan itu.

“Ketika itu saya dalam perjalanan pulang. Bapa mentua menghubungi saya dan memberitahu telefon pekerja saya tertinggal, tetapi saya rasakan ia bukan milik pekerja lalu meminta bapa mentua untuk melihat peralatan kerja di dalam kereta.

“Selepas dimaklumkan tiada, saya menjangkakan semua barang itu dicuri dan telefon itu milik pencuri itu. Apabila mendapat tahu telefon itu jenis iPhone, saya membeli pengecas telefon jenis itu kerana dimaklumkan kehabisan bateri,” katanya.

Sebaik tiba di rumah, Shahrizan mengecas telefon bimbit berkenaan dan cuba membuka nombor pin laluan telefon tersebut sebanyak tiga kali sehinggalah berjaya mengetahui identiti pemiliknya pemiliknya pada cubaan yang terakhir.

“Saya hanya mencuba nombor pin empat digit asas yang sering digunakan orang ramai. Cubaan pertama adalah 1234 seterusnya 1111 namun kedua-duanya tidak berjaya.

“Dengan lafaz Bismillah, cubaan ketiga saya dengan nombor 0000 akhirnya berjaya,” katanya lagi.

Menurutnya, selepas melihat gambar dan video dalam telefon itu, mangsa mengenali pencuri terbabit serta rakan-rakannya yang juga penagih dadah di kawasan taman perumahannya.

“Mereka (suspek) memang dikehendaki oleh komuniti taman perumahan saya kerana disyaki terbabit dalam kes curi sebelum ini.

“Petunjuk lebih kuat apabila membaca perbincangan mereka dalam aplikasi WhatsApp. Apabila tahu telefon itu milik pencuri itu, saya menukar kata laluan Facebooknya dan menaikkan status sebelum ia tular,” katanya lagi.

Kini Facebook pencuri itu di bawah kawalannya dan akan memadam status berkenaan serta menyerahkan semula akaun Facebook itu kepada yang berhak selepas pencuri terbabit ditangkap.

“Saya sudah membuat laporan polis serta serahkan telefon pencuri itu untuk siasatan. Adiknya juga tampil berjumpa dengan saya dan mahu bekerjasama untuk mengesannya.

“Bagaimanapun, pencuri itu masih menghilangkan diri dan tidak pulang ke rumah selepas saya membuat laporan polis pada Ahad,” katanya.

Menurutnya lagi, tindakannya memuat naik status di akaun Facebook pencuri itu bukan bertujuan mahu memalukan sebaliknya memberi saranan supaya berhati-hati kepada masyarakat setempat.

“Tindakan saya ini juga adalah untuk memberi pengajaran kepada pencuri itu dan rakan-rakannya, tiada niat untuk mengaibkan sesiapa,” katanya lagi. - Kedahnews.com