"Terus Tidur Atas Jalan" Jadi Bahan Sindiran, Lawak Di Media Sosial


Demonstrasi pemimpin dan ahli Parlimen pembangkang dengan tidur di tepi jalan raya dekat bangunan Parlimen kerana menentang kenaikan harga petrol menjadi bahan lawak dan sindiran umum di media sosial.

Perbuatan itu disifatkan sekadar untuk menagih simpati rakyat supaya rakyat menyokong parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

Kenaikan dan penurunan harga minyak di sekitar RM0.03 - RM0.05 sen seliter beberapa  minggu sebelum ini dijadikan sebagai modal politik oleh pembangkang walaupun mereka sedar harga minyak di negara ini antara yang terendah di dunia.   .

Namun sebaik sahaja harga petrol mingguan turun RM0.08 sen semalam, pemimpin PAN mendakwa pula harga itu turun disebabkan desakan mereka.

Pengguna FB terus menyindir agar kumpulan itu terus berdemo dan tidur di atas jalan agar harga petrol terus turun.

Sebelum ini demonstrasi sedemikian rupa kerap berlaku di Indonesia apabila berlaku kenaikan bahan  bakar dan barangan keperluan lain.
 .
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata kerajaan tidak menafikan bahawa kesan kenaikan minyak adalah berkaitan dengan peningkatan indeks inflasi.

Namun demikian beliau meminta agar rakyat yakin bahawa kerajaan bersedia dengan sebarang langkah yang akan memastikan kebajikan rakyat kekal terbela.

Beliau turut membidas pihak pembangkang yang tidak memberi sebarang komen dan pujian terhadap usaha kerajaan dalam memastikan harga minyak turun sebanyak RM0.08 semalam sebaliknya melemparkan pelbagai tohmahan apabila harga minyak naik.

“Tahun ini, sejak kerajaan mengapungkan harga minyak selama 21 minggu, harga minyak mengalami kenaikan dengan jumlah keseluruhan RM0.83, tetapi selama 13 minggu harga minyak turun yang menyaksikan kenaikan keseluruhan hanya sebanyak RM0.01.

“Tiada sebarang pujian terhadap kerajaan bila umumkan penuruan sebanyak RM0.08. Tiada satu blok pembangkang yang bercakap atau memuji usaha kerajaan, tetapi jika harga naik, kita (kerajaan) kena bersedia dengan semua tohmahan dan fitnah yang dibuat,” sindirnya.

Semalam, harga runcit mingguan bagi petrol RON95 menurun 8 sen, menjadi RM2.30 seliter dari RM2.38, manakal Petrol RON97 pula turun 8 sen, menjadi RM2.58 daripada RM2.66 seliter.
Harga diesel turun dua sen, menjadi RM2.23 dari RM2.25.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan menjelaskan kerajaan akan mengenal pasti langkah bersesuai­an sekiranya harga runcit RON95 dan diesel mele­bihi RM2.50 seliter secara berterusan selama tiga bulan.

Langkah tersebut adalah bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga minyak dunia dan kadar inflasi terkawal dalam jangka masa sederhana dan panjang.

“Kerajaan prihatin dan memahami kesan kenaikan harga minyak di pasaran dunia yang kini telah mencecah lebih AS$60 (RM249) setong, kata kenyataan itu.

Harga minyak dunia menunjukkan peningkatan disokong oleh jangkaan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan negara pengeluar lain untuk terus mengurangkan bekalan sehingga Mac 2018.

Lonjakan harga minyak global itu turut disokong oleh petunjuk bekalan minyak mentah Amerika Syarikat (AS) yang dilaporkan menurun. - Kedahnews.com