Thailand Tahan Tujuh Bas Ekspres Malaysia Di Songkla


SONGKLA - Tujuh buah bas ekspres milik syarikat Malaysia ditahan kerana tidak mempunyai permit untuk masuk ke Thailand dalam operasi besar-besaran yang dilancarkan oleh pihak berkuasa di wilayah Songkla, selatan Thailand, kelmarin.

Pemangku Naib Ketua Polis Pelancong Thailand, Mej. Jen. Surachet Hakpan berkata penahanan bas ekspres tersebut adalah sebahagian daripada operasi pencegahan jenayah di wilayah yang terkenal sebagai destinasi tumpuan pelancong Malaysia dan Singapura.

Operasi bersepadu pelbagai agensi itu turut memeriksa pusat-pusat hiburan, hotel, premis tukaran wang asing, terminal bas dan syarikat pelancongan di wilayah terbabit, katanya kepada media di sini semalam.

Selain itu, katanya, mereka turut menahan 30 rakyat Malaysia yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja serta 22 warga tempatan dan merampas pebagai jenis senjata api, dadah dan ubat batuk.- BERNAMA