Tiada Bukti Dr. Zakir Naik Terlibat Dalam Aktiviti Keganasan – TPM


KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada sebarang bukti yang mengesahkan pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik terlibat dalam akti­viti mempromosi keganasan atau penggubahan wang haram seperti didakwa pihak tertentu.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah meneliti ucapan, video dan ceramah Dr. Zakir dan didapati tidak ada satu pun ucapan beliau yang menggalakkan keganasan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, malah pendakwah terkenal itu juga tidak me­langgar undang-undang negara.

“Walau bagaimanapun, kerajaan sentiasa memantau aktiviti Dr. Zakir di negara ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2018 bagi KDN dalam sidang Dewan Rakyat semalam.

Terdahulu, Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) ketika mencelah penggulungan tersebut bertanya mengenai tindakan kerajaan India membatalkan pasport antarabangsa Dr. Zakir dan taraf pemastautin tetap pendakwah tersebut di negara ini.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak menerima sebarang permohonan daripada ke­ra­jaan India untuk mengeks­tradisi Dr. Zakir kerana terlibat dalam aktiviti keganasan.

Menurut beliau, kerajaan akan memberikan kerjasama penuh sekiranya kerajaan India mengemukakan permohonan tersebut.

“Saya ada bertemu dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi baru-baru ini.

“Antara perbincangan adalah mengenai Dr. Zakir tetapi tiada sebarang permohonan ekstradisi, cuma saya dimaklumkan bahawa pasport an­­tarabangsa beliau dibatalkan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, sebanyak 553,531 pendatang asing tanpa izin (PATI) diusir dari Sabah sejak 1990 hingga 30 Jun lalu dengan pengusiran tertinggi adalah pada 2015 melibatkan sebanyak 27,769 PATI.

Sementara itu, beliau membe­ri­tahu, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diberikan rawatan terbaik ketika dan selepas pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sumber: Utusan Online