Tiada Pencemaran Air Kumbahan Dalam Banjir Di Utara


ALOR SETAR - Tiada pencemaran air kumbahan di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia yang dilanda banjir kilat akibat hujan lebat tanpa henti baru-baru ini.

Menurut Ketua Operasi Wilayah Utara Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), Hussain Omar berkata, kedudukan tangki yang tinggi merupakan antara faktor pencemaran air sisa kumbahan  dapat dielakkan di Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Tambah Hussain, mengambil ikhtibar daripada kejadian itu, pihak IWK kini meletakkan kesemua loji yang terlibat sebagai loji berisiko bagi mengelakkan kerosakan lebih teruk jika kejadian sama berulang pada masa akan datang.

"IWK memang meletakkan beberapa loji di dalam negara sebagai loji berisiko kerana terletak di kawasan banjir, namun kesemua loji di tiga negeri itu pertama kali terlibat dalam bencana banjir.

"Kita belajar daripada kejadian tersebut supaya kita dapat mengambil langkah-langkah yang sepatutnya selepas ini selain menjimatkan kos kerugian dengan melindungi peralatan mekanikal yang penting," katanya kepada Bernama semalam.

Mengulas lanjut, Hussain berkata, 53 loji telah pun mengalami kerosakan kecil yang mana 45 daripadanya terletak di Pulau Pinang, enam di Sungai Petani, Kedah dan masing-masing satu di Kuala Kangsar serta Lenggong, Perak.

"Bagaimanapun, kesemua loji terbabit tidak mengalami kerosakan yang besar seperti melibatkan panel kawalan sebaliknya hanya beberapa kerosakan kecil seperti struktur bangunan, pagar dan dinding.

“Kerosakan lain termasuk beberapa peralatan akibat daripada ribut petir yang melanda dan ia perlu dibaik pulih segera bagi memastikan proses kerja selepas ini tidak terganggu," katanya dan menambah IWK menanggung kerugian sebanyak RM200,000 kerana perlu membaiki semula kerosakan.

Pada masa sama, ujar beliau, pengguna kini mula sedar mengenai peranan IWK dengan membayar bil mereka secara konsisten berdasarkan penilaian yang mendapati peningkatan dalam kutipan bil.

"IWK perlu lebih berusaha mendekati masyarakat supaya mereka tahu peranan dan tanggungjawab kita dalam memastikan kehidupan mereka bersih dan selamat," katanya.- Kedahnews.com