PETALING JAYA - Jurulatih skuad bawah 22 tahun negara (B-22), Datuk Ong Kim Swee akan menggunakan baki enam minggu sebelum bermulanya Kejohanan Bawah 23 Tahun AFC di China bagi memastikan pemainnya dalam keadaan terbaik bagi pasukannya.
Selepas 27 pemain yang dipanggil ke dalam skuad hadir dengan pelbagai peringkat kecergasan, Kim Swee berkata ia memerlukan lebih kurang seminggu bagi semua orang untuk mencapai tahap optimum.
Hanya tiga pemain yang masih belum melapor diri dalam kem latihan berikutan beberapa alasan dan Kim Swee menegaskan bahawa beliau tidak akan mengambil ringan masalah disiplin dalam merencana strategi permainan pada kejohanan itu.
Malaysia akan bertemu Iraq, Jordan serta Arab Saudi dalam Kumpulan C pada 10-16 Januari ini dan Kim Swee mahu pemainnya bersedia berdepan semua cabaran.
"Semua bahagian perlu bekerja. Saya tidak katakan kepada penjaga gol sahaja, pertahanan, pemain tengah atau penyerang.
Perkara paling penting adalah apabila kami ke China, kami mempunyai 23 pemain yang sanggup bekerja keras," kata Kim Swee di Wisma FAM, semalam.
"Anda boleh mempunyai teknik yang sangat bagus tetapi jika anda tidak bekeja keras dan berdisiplin, memang tidak ada peluang. 23 pemain yang dipilih mestilah bagus dalam semua perkara, terutama sekali disiplin di dalam dan luar padang.
"Saya berharap pemain akan mengambil ini sebagai cabaran dan membuktikan kemampuan mereka dan dengan semangat dan disiplin, kemudian kita akan dapat keputusan."
Kim Swee sudah mempunyai perancangan untuk memastikan pemainnya kekal cergas menjelang perlawanan persahabatan pertama menentang Petaling Jaya Rangers pada 9 Disember ini dengan memecahkan pemain kepada dua kumpulan.
"Ini baru hari kedua kami bersama dan untuk menilai pemain, saya perlukan sekurang-kurangnya seminggu dan selepas perlawanan persahabatan," kata Kim Swee yang membawa pasukan itu memenangi pingat perak Sukan SEA di Kuala Lumpur, Ogos lalu.
Sumber: BH Online