TNB Pastikan Proses Pelepasan Air Empangan Secara Terkawal


KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah membuat persediaan di semua empangan hidroelektrik miliknya menjelang musim tengkujuh bagi memastikan proses pelepasan air secara terkawal dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).

Pengurus Besar Kanan (Operasi Aset), Bahagian Penjanaan TNB, Ir Roslan Abd Rahman, berkata antara persediaan yang dilakukan termasuk latihan bersama pihak berkuasa serta agensi berkaitan.

"Selain menjana elektrik, empangan hidroelektrik milik TNB turut berfungsi sebagai tebatan banjir.

"Kemampuan empangan kami menakung air di hulu sungai dapat mengelakkan bencana lebih besar daripada berlaku di kawasan hilir setiap kali musim tengkujuh tiba," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, semua empangan hidroelektrik milik syarikat nasional itu beroperasi dalam keadaan baik dan selamat.

Empangan hidroelektrik TNB terletak di Tasik Kenyir, Terengganu; Cameron Highlands, Pahang dan Sungai Perak, Perak.

Sebarang maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik, orang ramai boleh menghubungi talian TNB Careline di 15454 atau facebook TNB Careline.

Sumber: BH Online