KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang berusaha mengikat pemain negara, Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil bagi memperkuatkan pasukan itu menghadapi saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) musim depan.
Penolong Pengurus Pasukan TNB, Adam Izamry Idrus berkata, perbincangan masih diadakan namun setakat ini belum ada sebarang keputusan diambil oleh pemain berkenaan.
"Memang kami berminat untuk mendapatkan khidmat Tengku Ahmad Tajuddin. Tapi tidak banyak yang boleh saya katakan ketika ini kerana beliau belum menandatangani kontrak.
"Sekiranya dia benar-benar mahu beraksi bersama TNB musim depan, sudah pasti ia dapat menguatkan jentera serangan kami. Kami juga berminat untuk mendapatkan beberapa pemain utama yang lain.
"Seperti situasi Tengku Ahmad Tajuddin, segala-galanya masih dalam perbincangan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Adam mengakui usaha untuk membawa masuk beberapa pemain utama, antara lain bertujuan memperkuatkan pasukan TNB yang mempunyai sasaran lebih tinggi musim depan.
"Kami mahu berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik dalam saingan liga kerana itu adalah KPI (indeks prestasi utama) yang ditetapkan oleh pihak pengurusan.
"Jadi kami memang sedang membuat persediaan rapi. Selain cuba mendapatkan beberapa pemain baru, kami juga akan menjalankan ujian pemilihan bersama TNB Thunderbolts hujung bulan ini.
"Oleh kerana Thunderbolts akan turut beraksi pada Liga Perdana musim depan, maka kami mahukan pasukan yang mempunyai kekuatan seimbang," katanya.
Tengku Ahmad Tajuddin atau dipanggil juga Zidane di kalangan rakan sepasukannya, sebelum ini beraksi bersama Terengganu Hockey Team (THT) selama empat musim yang menyaksikannya berjaya membantu pasukan meraih kejuaraan liga sebanyak tiga kali.
Kali terakhir pasukan TNB memenangi trofi adalah pada musim 2009/2010 apabila muncul juara Piala TNB.
Sumber: BH Online