ALOR SETAR - Namanya agak jarang didendang sebagai wira meskipun jelas beliau merupakan salah seorang yang menjadi "tulang belakang" kepada kejayaan skuad Lang Merah sejak beberapa tahun ini.
Walau bagaimanapun, bagi penyokong skuad Hijau Kuning yang menyedari peranan penting yang dimainkan Stefano Impagliazzo atau lebih mesra digelar "Tokwan" Stefano di sebalik kejayaan Kedah, pastinya mengiktiraf tinggi "wira tidak didendang" itu.
Bertugas sebagai jurulatih kecergasan pasukan bola sepak Kedah, Stefano dalam usia mencecah 69 tahun itu difahamkan sedang bercuti di negara asalnya, Brazil, namun jauh di sudut hatinya sedang merindui negeri Jelapang Padi.
Ekoran itu, beliau yang juga merupakan graduan Universiti Rio De Janeiro itu difahamkan bakal kembali ke Alor Setar pada 7 Disember ini bagi menelitik kontrak baru bersama Kedah, sekali gus melepaskan rindunya.
"Saya sudah menjadi sebahagian dari keluarga barisan pemain bola sepak Kedah dan penyokong. Saya rindukan mereka semua.
"Walaupun pernah berkerja di Thailand dan beberapa negara Arab, tapi saya lebih selesa di Alor Setar. Isteri saya juga suka dan tidak menghadapi sebarang masalah.
"Pegawai KFA (Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah), penyokong dan penduduk Alor Setar semua penyayang dan mereka mudah saling membantu. Sebab itu saya sangat rindukan mereka.
"Seperti penyokong, saya juga ternanti-nantikan individu yang akan dilantik sebagai jurulatih Kedah musim depan kerana saya akan berkerja di bawahnya.
"Tetapi itu urusan pihak atasan dan saya bersedia untuk terus berbakti dan memberikan yang terbaik untuk skuad hijau kuning," kata Tokwan Stefano yang mula bertugas di Kedah sejak tahun 2004 lagi.
Selain Kedah, Stefano juga pernah bertugas sebagai jurulatih kecergasan untuk pasukan T-Team untuk semusim pada tahun 2014, dan Terengganu pada musim 2015, sebelum kembali bertugas di negeri ini.
Untuk rekod, beliau yang sering menarik perhatian penyokong dengan dengan aksi yang bersahaja itu juga pernah berkhidmat bersama kelab di Arab Saudi, Qataar, Bahrain, China dan Brazil. - Kedahnews.com