NEW YORK – Menonton televisyen dikatakan boleh meningkatkan risiko mendapat darah beku sebanyak dua kali ganda, termasuk mereka yang rajin melakukan senaman.
Berdasarkan kajian Universiti Perubatan Vermont, golongan yang sering menonton televisyen dan melakukan aktiviti fizikal berisiko mendapat darah beku 1.8 kali lebih tinggi berbanding mereka yang jarang atau tidak pernah menonton.
Mail Online melaporkan, kajian tersebut dilakukan terhadap seramai 15,158 peserta berusia antara 45 hingga 64 tahun di seluruh Amerika Syarikat.
Ketua penyelidik, Dr. Mary Cushman berkata, menonton televisyen menjadi aktiviti yang teruk apabila ada golongan yang cenderung makan snek dengan lebih banyak sambil menonton yang akhirnya boleh menjejaskan kesihatan.
“Penyelidikan tersebut meliputi kajian pembentukan darah beku dalam saluran darah kaki, tangan, pelvis serta paru-paru yang lebih dikenali sebagai tromboebolisme vena (VTE).
“Kajian itu mendapati biarpun gemuk sering dikaitkan dengan golongan yang sering menonton televisyen, namun hanya kira-kira 25 peratus daripada peningkatan risiko pembentukan darah beku dapat dijelaskan dengan gemuk,” katanya.
Cushman turut mencadangkan masyarakat boleh melakukan senaman atas mesin larian atau kayuhan sambil menonton televisyen untuk memperoleh aktiviti yang sihat dan bermanfaat.
Selain itu, beliau juga menyatakan melambatkan tempoh menonton televisyen selama 30 minit atau merakam rancangan kegemaran terlebih dahulu dan menontonnya kemudian juga boleh membantu masyarakat menjadi lebih sihat.
Sumber: Utusan Online