PENULIS blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris menggemparkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur apabila berkata beliau akan membayar ganti rugi RM800,000 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malahan media tempatan hari ini melaporkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarang Portal KL Pos Media & Production Sdn. Bhd, itu sedia juga membayar faedah empat peratus dan kos berjumlah RM60,000.
Peguam Latheefa Koya yang mewakili bekas ketua pembangkang itu memberitahu pemberita, perkara tersebut dimaklumkan oleh Wan Muhammad Azri melalui peguam Irna Shahana Samsudin yang mewakili defendan.
Timbalan Pendaftar, Husna Dzulkifli justeru menetapkan 4 Disember ini tarikh akhir untuk sesi dengar prosiding petisyen muflis defendan ekoran kegagalan membayar jumlah tersebut kepada pemimpin tertinggi PKR itu.
Anwar fail saman pada 21 Mac 2013 kerana dakwa Wan Muhammad Azri, 35, ialah pemilik www.papagomo.com yang menyiarkan artikel dan paparan video seks sejenis secara berturut-turut dari 16 Mac hingga 20 Mac 2013.
Pada 28 Februari 2014, Hakim Rosilah Yop memerintahkan defendan membayar jumlah ganti rugi berserta kos kepada Anwar selepas mendapati tokoh PKR itu berjaya membuktikan kes saman fitnahnya terhadap beliau.
Wan Muhammad Azri namun menafikan dirinya sebagai Papagomo dan mengajuk ayat Anwar ketika isu video seks itu tular dengan berkata: ” Tiada bukti kukuh. Muka macam saya, tapi bukan saya!”- Kedahnews.com