Tuduhan Terhadap TH, Palsu


LEMBAGA Tabung Haji (TH) menafikan pembabitannya dan anak syarikat dalam kegiatan pengubahan wang haram milik Putera Al-Waleed bin Talal.

TH dalam kenyataan di sini berkata, tuduhan seorang pengamal media sosial mengenai pembabitan TH dalam kegiatan itu tidak berasas dan palsu.

Menurutnya, tuduhan itu dipercayai berdasarkan sebuah laporan dari 'Australia Financial Review' pada Mac 2017 berkaitan Cresmount Capital, sebuah dana dari Timur Tengah yang dikendalikan Putera Khaled, anak Putera Al-Waleed bin Talal.

Katanya, dana itu dikatakan membuat pelaburan berjumlah RM321 juta (100AUD) ke dalam syarikat pemaju hartanah di Sydney, Piety Investments.

"TH Properties Sdn Bhd (THP) sebuah syarikat pembangunan hartanah milik penuh TH mempunyai beberapa pelaburan dengan Piety Group dalam projek pembangunan kediaman di Sydney. Semua pelaburan THP dibuat secara langsung dengan menggunakan dana dalaman syarikat.

"THP tidak pernah memohon atau memperoleh dana atau sumbangan daripada Crestmount Capital, mahupun mana-mana pelabur asing. THP sudah mendapat semua kelulusan pihak berkuasa di Malaysia dan Australia untuk projeknya di Sydney," katanya.

Dalam kenyataan itu, TH berkata, THP tidak mempunyai sebarang maklumat atau pengetahuan mengenai urusan serta hubungan antara Crestmount Capital dan Piety Group.

Katanya, tuduhan bahawa dana dari Cresmount Capital sudah tercemar adalah tanggapan peribadi pengguna media sosial itu dan beliau perlu bertanggungjawab ke atas tuduhan yang dibuat.

"Sebagai organisasi yang bertanggungjawab kepada pendepositnya, kumpulan TH memandang serius tuduhan palsu yang boleh membawa kesan buruk kepada reputasinya serta bakal menimbulkan kerisauan dalam kalangan pendeposit.

"Kumpulan TH sentiasa berusaha memastikan bisnes serta pelaburan kami dilaksanakan dengan berkesan, selaras dengan prinsip Islam. Keutamaan sentiasa diberi kepada tadbir urus korporat serta amalan perniagaan terbaik dengan memberi tumpuan kepada integriti, ketelusan dan akauntabiliti," katanya.

Sumber: MyMetro