Tukang Cuci Baru Dapat Gaji Sebulan


ALOR SETAR - Sebahagian tukang cuci di lima sekolah di Kuala Kedah, di Alor Setar, yang tidak menerima bayaran gaji sejak dua bulan lepas akhirnya menerima tunggakan tersebut hanya untuk September.

Menurut Siti Hajar Kasim, 51, dia menerima gaji kira-kira RM850 selepas nasib malang menimpa 35 tukang cuci termasuk dirinya telah didedahkan pihak media.

“Kalau ikutkan memang tak cukup, tapi sekurang-kurangnya boleh bayar bil air dan api dahulu.

“Itu pun mak cik dah habis RM600, untuk jelaskan tunggakan bil itu. Yang tinggal, dalam tangan hanya RM200 sahaja lagi untuk menampung kos hidup kami seisi keluarga,” katanya.

Katanya, kini dia dan rakan-rakan memohon agar pihak berkenaan menjelaskan dengan segera tunggakan gaji mereka agar mereka mampu menampung kehidupan seharian.

“Minta tolong, jangan lupa bayar lebihan gaji kami untuk Oktober dan November sebab semua orang tetap ke tempat kerja dan menjalankan tugas seperti biasa, walaupun tak terima upah,” katanya.

Tambahnya, kumpulan pekerja perkhidmatan pembersihan bangunan dan kawasan sekolah itu merayu nasib mereka mendapat pembelaan dan masalah gaji selesai segera.

Sebelum ini, Kedahnews melaporkan seraman  35 tukang cuci sekolah di daerah itu mengalami nasib malang apabila sebuah syarikat gagal membayar gaji mereka sejak September lepas melibatkan kos keseluruhan lebih RM63,000.

Difahamkan, masalah melibatkan gaji tukang cuci lima sekolah di Kuala Kedah itu bermula sejak Jun apabila gaji mereka dibayar secara berperingkat. - Kedahnews.com