Tukar Kerajaan Bukan Penyelesaian – Salleh


KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini menekankan bahawa menukar kerajaan bukanlah penyelesaian kepada semua masalah.

Beliau berkata adalah amat mudah untuk menyalahkan kerajaan untuk semua kesilapan yang berlaku.

“Ada yang mencadangkan penyelesaian kepada masalah ialah dengan menukar kerajaan dan semua masalah akan hilang. Adakah ia penyelesaian sebenar ataupun sekadar dakwaan mereka yang menjaja penyelesaian palsu kepada semua masalah?, “ kata beliau dalam catatan blognya pada Rabu.

Salleh juga berkata masalah perkauman dan tidak bertoleransi terhadap agama tidak boleh diselesaikan hanya dengan menukar kerajaan.

“Ada kumpulan yang mencetuskan masalah perkauman dan agama, melainkan rakyat Malaysia bersedia untuk mencari keamanan dan keharmonian, ia tidak akan berlaku walaupun anda menukar kerajaan,” katanya.

Salleh juga berkata perkara sama berlaku berkenaan ekonomi Malaysia dan beliau mempertikaikan pengkritik yang menjelaskan bagaimana menukar kerajaan boleh membuatkan kesemua rakyat Malaysia kaya raya.

“Malaysia tidak terletak di angkasa lepas. Malaysia adalah sebahagian daripada ekonomi global. Apa yang berlaku di negara lain akan memberi kesan kepada Malaysia.

Jadi Malaysia tidak terasing dan terlindung daripada apa yang dilakukan oleh negara lain,” katanya.

Salleh berkata dunia sudah menjadi tempat yang mahal untuk didiami, dan kos sara hidup meningkat di mana-mana negara.

“Ada yang merungut bahawa kos sara hidup di Malaysia adalah amat tinggi. Sebenarnya ianya bukan masalah Malaysia sahaja tetapi masalah dunia . Maka pertukaran kerajaan tidak akan mengubah masalah ini,” katanya.

Sumber: Umno Online