Uber Lancar UberMOTO Di Dhaka, Bangladesh


DHAKA – Syarikat pengangkutan teksi dalam talian, Uber pada Selasa mengumumkan pelancaran perkhidmatan perkongsian, UberMOTO, di Dhaka, Bangladesh, lapor agensi berita Xinhua.

Menurut syarikat berkenaan, perkhidmatan itu sekaligus melambangkan Uber mengorak selangkah lagi untuk mewujukan perubahan dalam sistem pergerakan di bandar Dhaka, yang bermula 11 bulan selepas pelancaran UberX dan baru-baru ini, UberPREMIER.

Perkhidmatan itu, memberikan penumpang pilihan lain untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain, dengan hanya menekan satu butang.

Pengurus besar Uber Dhaka, Arpit Mundra berkata, “Kami sangat teruja untuk menggunakan teknologi, bukan sahaja menyumbang ke arah meningkatkan pergerakan di Dhaka dan mengurangkan kesesakan, tetapi lebih penting mewujudkan ribuan peluang ekonomi kepada golongan belia.”

Menurut syarikat itu, penumpang menerima butiran mengenai motor sama seperti kenderaan Uber lain, seperti semua ciri standard keselamatan sebelum, semasa dan selepas perjalanan, termasuk pengesanan GPS, maklum balas dua arah dan keupayaan berkongsi butiran perjalanan dengan keluarga serta kawan-kawan.

Kapten pasukan kriket kebangsaan Bangladesh, Mashrafe Mortaza turut mencuba perkhidmatan UberMOTO pertama di bandar itu pada hari pelancaran.– Bernama