KUALA LUMPUR - Siapa sangka, di sebalik kisah percintaan pasangan pengantin baharu, Adib Khalid dan Izara Aishah, rupa-rupanya aktres, Ummi Nazeera, yang memulakan perkenalan antara mereka.
Menerusi perkongsian di Instagram, Ummi berkata, Adib meminta beliau menjadi orang tengah dan bercakap perkara yang baik-baik mengenainya apabila berjumpa dengan Izara pada konsert ibu tiri beliau, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
"Saya mahu mengambil kredit kerana memperkenalkan Izara kepada Adib!!! Hahaha... Awak hutang dengan saya @adib_khalid ! Adib merupakan teman zaman kanak-kanak dan kami sekelas di tingkatan satu dan dua.
"Kemudian kami sekelas lagi ketika menyambung pengajian di Universiti RMIT, Melbourne dan dia bertanya, 'Ummi, awak datang ke konsert Mak Iti malam ini bukan? Tolong cakap yang baik-baik tentang saya pada Izara. Saya mahu kenal dengannya'.
"Hahaha... Rasanya, itu yang dia katakan pada saya sebelum ini. Alhamdulillah, akhirnya kalian ke jenjang pelamin. Sayangilah antara satu sama lain," katanya.
Dalam pada itu, Ummi turut berkongsi pengalamannya, sejurus tamat konsert terbabit, pihak media mula menganggap beliau menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki itu.
"Selepas kami ke konsert Mak Iti, media gosipkan saya dengan Adib pula, sedangkan saya saya hanya menjadi orang tengah untuk menyatukan mereka.
"Jika anda melihat gambar yang digosipkan itu, saya duduk di antara Adib dan Izara. ketika itu, Adib masih malu-malu," selorohnya.
Izara, 25, sah bergelar isteri kepada Adib, 27, dengan sekali lafaz, tepat jam 9 malam, Jumaat lalu.
Sumber: BH Online