Utamakan Bayaran Balik PTPTN Apabila Bekerja


ARAU – Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dinasihatkan mengutamakan pembayaran balik pinjaman pelajaran dan potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas mendapat pekerjaan.

Timbalan Menteri Kewangan , Datuk Othman Aziz berkata ramai peminjam menghadapi masalah seperti nama disenarai hitam kerana mereka lebih mementingkan perkara lain.

“Saya merayu peminjam yang telah bekerja melunaskan pinjaman bagi membolahkan pemohon lain membuat pinjaman,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan “CEO Talk’ sempena Hari Terbuka Unit Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni UiTM Perlis di UiTM Arau di sini, semalam.

Othman berkata walaupun pembayaran balik meningkat sejak kerajaan menawarkan potongan tertentu termasuk penjadualan pembayaran semula, namun peminjam harus bertanggungjawab dan tidak perlu menanti nama mereka disenarai hitam oleh pihak tertentu atau sehingga dicari oleh PTPTN.

Ketika menyampai CEO Talk, beliau berkata Universiti Teknologi Mara (UiTM) masih merupakan antara universiti terbaik negara manakala kebolehpasaran graduannya mengatasi banyak universiti lain.

“Untuk meningkatkan kebolehpasaran, pelajar wajib menguasai sekurang-kurangnya Bahasa Inggeris dan bahasa kebangsaan selain meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan interaksi dalam kedua-dua bahasa itu.

Mengikut pengalaman, pihak swasta lebih mengutamakan graduan yang menguasai kemahiran tersebut selain mencapai keputusan cemerlang dalam pengajian mereka. Kalau lemah amat susah untuk mereka mendapat pekerjaan di sektor swasta,” katanya.

Beliau bagaimanapun yakin pelajar UiTM akan terus mempertahankan status dan kecemerlangan universiti berdasarkan pencapaian semasa mereka. – BERNAMA