Vingada Teruja Nanti Final


PERTEMBUNGAN antara Kedah dan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) pada aksi final Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam, malam ini ibarat ‘buku bertemu ruas’ serta final idaman yang dinanti-nantikan penyokong bola sepak tempatan.

Pengendali Harimau Malaya, Nelo Vingada berkata, agak sukar baginya meramalkan siapa paling layak untuk membawa pulang Piala Malaysia edisi ke-91 itu.

Katanya, kedua-dua pasukan memiliki kekuatan dan kelebihan tersendiri dengan kebanyakan tonggak terbaik tempatan dan import berada dalam senarai skuad Helang Merah dan Harimau Selatan.

“Secara jujurnya sukar nak ramal pasukan mana akan bergelar juara kerana kedua-dua pasukan sama kuat dan hebat.

“Malah, hampir separuh pemain skuad kebangsaan berada dalam final ini yang saya anggap sebagai pertembungan idaman berdasarkan pencapaian kedua-duanya sepanjang musim ini.

“Ramalan saya, aksi ini akan berakhir dalam tempoh 90 minit tanpa perlu diheret ke masa tambahan dan penentuan sepakan penalti dengan jurang jaringan yang tipis.

“Namun, siapa yang kurang melakukan kesilapan akan muncul sebagai pemenang,” katanya yang menganggap anak buah Ulisses Morais memiliki sedikit kelebihan berdasarkan rekod pertemuan sejak 2013 dengan Johor DT memenangi lima kali dan seri dua kali dalam sembilan pertemuan di semua pertandingan tempatan.

Beliau yang digelar ‘The Professor’ menyatakan keupayaan skuad bimbingan Nidzam Adzha Yusoff juga tidak boleh diperkecilkan memandangkan mereka turun ke arena dengan status juara bertahan.

“Kedah pasukan campuran pemain senior dan muda di samping turut mempunyai tonggak import berkualiti.

“Perlawanan akhir ini amat menarik untuk disaksikan dan pastinya berlangsung sengit. Seperti pepatah yang sering diungkap iaitu ‘pasukan terbaik menang’,” ujarnya.

Sumber:MyMetro