WAJARKAH Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) hanya gara-gara tiket perlawanan akhir Piala Malaysia baru-baru tidak mencukupi untuk penyokong Lang Merah.
Persoalan kedua, wajarkah Ahmad Bashah tidak lagi meneraju KFA ketika skuad Halang Merah berada di kemucak selepas menjuarai Piala FA 2017 dan juara Piala Malaysia 2016.
Dalam tempoh tiga tahun, tiga kali Kedah layak ke final Piala Malaysia.
Tidak salah mendesak Presiden KFA merombak pengurusan persatuan bolasepak demi mematapkan pengurusan dan pasukan Kedah.
Namun agak keterlaluan apabila ada pihak mendesak Menteri Besar melepaskan jawatan Presiden KFA atas alasan pengagihan tiket yang dikatakan 'tidak adil' oleh penyokong.
Walaupun Menteri Besar tidak terlibat secara langsung dalam pengurusan bolasepak tetapi perlu diingat untuk membina sebuah pasukan yang mantap seperti sekarang memerlukan perbiayaan yang cukup besar.
Selaku Presiden KFA, Ahmad Bashah bertanggungjawab untuk mencari dana bagi menjana kewangan persatuan yang semakin meningkat apatahlah untuk membayar gaji pemain yang dianggap tinggi.
Semalam penyokong pasukan Lang Merah menggesa Ahmad Bashah membuat rombakan dalam pengurusan KFA bagi mengharungi Liga Malaysia pada musim akan datang.
Pengerusi Persatuan Peminat Lang Merah (LMFA), Wan Mohd Syazwan Wan Mohd Fadzelah berkata presiden KFA perlu membuat pembaharuan dalam pengurusan KFA terutamanya kedudukan Pengerusi Teknikal Tiket dan Pintu Masuk KFA yang gagal melaksanakan peranannya.
"Sudah empat kali Kedah ke pentas final pada Piala FA 2017 dan tiga kali dalam Piala Malaysia pada tahun 2015, 2016 dan 2017 tetapi saya lihat beliau masih lagi gagal melaksanakan tugas beliau dalam menguruskan isu tiket ini, ' katanya pada Majlis Santai Sidang Media Penyokong Kedah Anjuran LMFA semalam.
Penyokong Lang Merah berasa kecewa dengan sistem pengurusan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia yang lalu di mana hampir 10,000 tiket yang disediakan di empat kaunter habis terjual dalam tempoh 45 minit di Stadium Darul Aman," katanya.
Sebelum ini, dalam sidang dewan, isu tiket telah dibangkitkan oleh ADUN dan kerajaan negeri menjelaskan tidak ada pihak yang membolot tiket perlawanan akhir itu sebaliknya ia diagihkan kepada kumpulan penyokong daripada tiap daerah dan persatuan gabungan bolasepak mengikut permit bas yang ditempah.
Malah pengagihan tiket itu dipantau secara teliti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sepanjang jualan di buat di Stadium Darulaman.
Dalam masa yang sama KFA juga mencadangkan tiket perlawanan bolasepak pada masa depan dijual melalui talian internet bagi mengelakkan berlaku perebutan tiket di kalangan penyokong negeri hingga memaksa campur tangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) - Kedahnews.com