Wakil Rakyat Kedah Disaran Wujudkan Group WhatsApp Aduan Rakyat


ALOR SETAR - Setiap wakil rakyat di daerah negeri Kedah disarankan untuk mewujudkan satu 'group' Whatsapp Aduan Rakyat bagi memudahkan mereka untuk maklumat dalam usaha untuk menyelesaikan masalah rakyat dalam tempoh yang singkat.

Exco Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Kedah,Datuk Mohd Tajuddin Abdullah berkata, kumpulan WhatsApp ini akan bertindak sebagai satu saluran baru untuk berkomunikasi disamping mendedahkan masalah kepada pihak tertentu.

"Dalam kumpulan ini, wakil agensi seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) ada, jadi bila rakyat nyatakan masalah yang mereka hadapi, agensi yang terlibat akan terus mengambil perhatian.

"Setakat ini, daerah Sik sahaja yang ada kumpulan Whatsapp ini yang sudah beroperasi selama setahun .

“Saya lihat ia sangat efektif apabila masalah yang disuarakan rakyat dapat diselesaikan dalam masa yang sangat singkat dan ada yang kurang daripada tempoh 24 jam," kata beliau yang juga Adun Belantik. - Kedahnews.com