Wanita Hamil Tak Sedar Hidap Diabetes


KUALA LUMPUR - Tiga puluh peratus wanita Asia yang mengandung dalam tempoh tiga tahun lalu, tidak menyedari kemungkinan mereka bakal menghidap diabetes 'gestational.'

The Sun Life Financial Asia Diabetes Awareness, sebuah pertubuhan kesihatan, dalam tinjauannya baru-baru ini, menunjukkan wujudnya jurang pengetahuan membimbangkan mengenai diabetes yang menjejaskan satu dalam setiap tujuh kelahiran di Asia.

"Malaysia mendahului dengan peratusan tertinggi, iaitu 17.9 peratus, diikuti Hong Kong dan Filipina, masing-masing 9.6 dan 6.9 peratus," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

BERNAMA melaporkan, tinjauan itu juga mendedahkan 31 peratus daripada responden di Asia tidak tahu terdapat lebih daripada satu jenis diabetes dan 42 peratus daripada mereka tidak menyedari hakikat wanita mengandung menghadapi risiko mendapat penyakit itu.

Risiko jangka panjang

Tinjauan itu turut menunjukkan 45 peratus daripada responden berpendapat diabetes akan menyebabkan beban kewangan, terutama terhadap sistem penjagaan kesihatan awam.

Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Presiden dan Ketua Negara Sun Life, Raymond Lew, berkata Sun Life bekerjasama dengan Diabetes Malaysia untuk menyediakan bantuan kewangan bagi membeli bekalan pengesan diabetes untuk kanak-kanak dan keluarga tidak berkemampuan.

Sementara itu, Pakar Perunding Endokrin Hospital Putrajaya, Dr Nurain Mohd Noor, berkata walaupun umum menganggap diabetes ketika hamil (GDM) bersifat sementara, ia sebenarnya membawa risiko jangka panjang untuk ibu dan anak menghidap diabetes jenis II.

Katanya, kesedaran GDM dalam kalangan wanita dan suami, amat mustahak bagi memastikan pengesanan dan pengurusan awal diabetes dengan baik.

"Wanita perlu mendapatkan pandangan pakar sekiranya mereka bercadang untuk hamil lagi, bagi memastikan mendapat bimbingan betul menguruskan paras gula dalam darah, khususnya bagi yang ada sejarah diabetes," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena Sambutan Hari Diabetes anjuran Novo Nordisk dengan kerjasama Hospital Putrajaya, semalam.

Jejas kualiti hidup

GDM berisiko pada wanita yang hamil lewat, obesiti, ada sejarah diabetes dalam keluarga, termasuk pernah mendapat GDM sewaktu kehamilan terdahulu, sejarah kematian bayi sewaktu lahir atau melahirkan bayi dengan kecacatan kongenital.

Dr Nurain yang juga Setiausaha Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia, berkata diabetes bukan sahaja memberi kemudaratan kepada kesihatan global yang kian meningkat, tetapi lebih daripada itu, menjejaskan kualiti hidup.

Katanya, Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) dalam Edisi Ke-8 Atlas Diabetes IDF yang diterbitkan baru-baru ini, menganggarkan seramai 425 juta penghidap diabetes di seluruh dunia dengan anggaran seorang daripada setiap 11 dewasa, ada diabetes.

Memburukkan keadaan apabila daripada jumlah itu, satu daripada dua penghidapnya, langsung tidak menyedari menghidap diabetes.

Perunding Perubatan Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan, Dr Feisul Idzwan, berkata semua pihak perlu lebih agresif dalam usaha menangani diabetes dengan fokus kepada langkah pencegahan, pemeriksaan risiko awal dan pengurusan penyakit.

"Diabetes menjejaskan kesihatan individu. Malah ia adalah cabaran baharu perlu dihadapi negara. Saya berharap Hari Diabetes Sedunia boleh menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran dan memupuk kerjasama menangani diabetes," katanya.

Sumber: BH Online