Wanita, Pemuda, Puteri UMNO Perlu Pastikan Kedah Kekal Diterajui BN


ALOR SETAR  - Pergerakan Wanita UMNO perlu terus berganding bahu dengan Puteri dan Pemuda UMNO untuk menentukan Kedah kekal diperintah oleh Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke-14  (PRU14).

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, Wanita merupakan jentera paling hadapan untuk menentukan kekuatan UMNO dalam memastikan parti dapat terus mentadbir di negeri ini.

BN dan UMNO perlu terus diberi kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah negeri ini bagi tempoh lima tahun akan datang, kata Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan BN negeri. 

"Jadi Wanita, Pemuda dan Puteri perlu berganding bahu untuk memperkasakan Jalinan Rakyat (JR) yang merupakan senjata UMNO yang paling kuat dalam memperkasa parti," kata Ahmad Bashah semasa berucap pada majlis Malam Anugerah Ibu Terbaik Bangsa di sebuah hotel di Mergong di sini, malam tadi.

Sementara itu Ahmad Bashah menegaskan bahawa Wanita UMNO merupakan tulang belakang dalam menentukan kekuatan dan menggerakkan parti selama ini bersama dua lagi sayap iaitu Pemuda dan Puteri.

"Jangan gadai kuasa yang ada kepada pihak tertentu hingga boleh menyebabkan rakyat Kedah rugi," katanya 

Pada majlis tersebut, Ahmad Bashah menyampaikan Anugerah Ibu Terbaik Bangsa kepada lima tokoh Wanita UMNO Kedah yang telah memberi sumbangan bakti dalam membantu meningkatkan nama Pergerakan Wanita UMNO negeri.

Anugerah khas diberikan kepada Allahyarhamah Datuk Wira Dr Maznah Hamid atau lebih dikenali sebagai 'Iron Lady' yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada bulan lalu.

Penghargaan itu disampaikan kepada anak Allahyarham, Datin Nur Sharmila Shaheen Mirza Habib. - Kedahnews.com