Warga Emas Beri Rasuah RM3,000 Dipenjara 4 Bulan, Denda RM20,000


IPOH – Padah menawar dan memberikan suapan kepada Penolong Penguasa Imigresen melibatkan wang tunai berjumlah RM3,000 Ogos tahun lalu, seorang warga emas dijatuhi hukuman penjara selama empat bulan dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim S. Indera Nehru membuat keputusan tersebut selepas tertuduh, Lee Kee Heong, 63, menukar pengakuannya kepada bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Sebelum ini, pada 5 Oktober lalu, lelaki tersebut mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke mahkamah sama.

Mengikut pertuduhan, Kee Heong didakwa menawarkan rasuah bernilai RM2,000 kepada Abdul Majid Mohamed sebagai dorongan untuk melepaskan Qaiser Iftikhar kerana melakukan kesalahan berada di Malaysia selepas tamat tempoh pas lawatan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di bandar Sri Klebang di sini pada pukul 6.07 petang 17 Ogos 2016.

Kee Heong turut didakwa memberikan rasuah sebanyak RM1,000 kepada pegawai sama di restoran McDonald’s Bandar Meru Raya di sini pada pukul 6.30 petang 18 Ogos 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Malaysia (SPRM) 1959/63 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Sumber: Kosmo