ALOR SETAR – “Berat mata memandang berat lagi bahu memikul”. Itulah perumpamaan yang sesuai bagi seorang warga emas, Abdullah Yunus, 71, yang dikatakan menderitai penyakit misteri iaitu ‘buah zakarnya membesar sebesar buah kelapa’.
Menurut Abdullah, dia mula mengalami penyakit itu selepas dia demam panas 30 tahun lalu dan pelbagai usaha dilakukan untuk mengubatinya namun sehingga ke hari ini masih menemui jalan buntu.
Katanya lagi, pada peringkat awal dahulu doktor Hospital Besar Alor Setar (HBAS) memintanya membuat pembedahan tetapi dia tidak berbuat demikian atas faktor kesempitan hidup yang dihadapi.
Tambah Abdullah, doktor yang merawatnya pernah memberitahu bahawa penyakit tersebut adalah berpunca daripada masalah darah yang masih belum ada penawarnya, kata bapa kepada tiga anak itu kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kuala Nerang, semalam.
Tambahnya, sejak itu dia tidak mampu melakukan kerja menoreh getah dan hanya mengharapkan bantuan orang ramai dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan.
“Walaupun saya sudah tidak boleh melakukan pembedahan lagi kerana faktor usia, tetapi saya masih berusaha untuk mengubatinya… saya sangat-sangat mengalu-alukan pihak yang boleh mengubati penyakit saya ini supaya dapatlah saya menjalani kehidupan seperti orang lain,” ujarnya.
Bagi orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada Abdullah boleh berbuat demikian di akaun Agro Bank (atas nama Abdullah) nombor 200-5061-00007093-4 atau menghubungi anak lelakinya Ishak di talian 010-8173904. – Kedahnews.com