ALOR SETAR - Individu warga Kenya yang dikenali sebagai, Kamudi Valentine Muthomi, 27, maut selepas tergelincir dan jatuh ketika mandi di Air Terjun Telaga Tujuh, Langkawi, semalam
Ketika kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, mangsa yang berasal dari Nairobi, Kenya dilaporkan terjatuh dari ketinggian kira-kira sembilan meter menyebabkan kecederaan parah di kepala dan disahkan mati di tempat kejadian.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.26 petang, sebelum tujuh anggota bersama dua jentera termasuk jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.
"Sejurus tiba anggota bomba mendapati seorang lelaki warga Kenya terjatuh dari ketinggian sembilan meter di air terjun itu.
"Mangsa dibawa turun dengan menggunakan pengusung dan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan, sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau lagi, operasi itu turut disertai anggota Polis Diraja Malaysia dan petugas perubatan Hospital Langkawi itu ditamatkan pada jam 7.18 malam. - Kedahnews.com