Masyarakat Negeri Kedah kaya dengan makanan tradisionalnya. Makanan ini mempunyai ciri-ciri keistimewaannya yang tersendiri iaitu dari segi bentuk, rasa, warna serta proses membuatnya. Dua jenis makanan tradisional yang sememangnya hampir dilupakan oleh masyarakat moden masa kini ialah emping dan ringgi.
Emping dan ringgi diperbuat daripada padi pulut. Antara jenis-jenis padi pulut yang biasa digunakan ialah pulut gantung alu, pulut galah, pulut sutera dan pulut hitam.
Menurut Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, emping merupakan sejenis "kudap-kudapan yang diperbuat daripada padi yang masih muda manakala ringgi ialah emping daripada padi yang masih lembut isinya".
Emping seperti yang diketahui adalah berwarna putih kerana ia diperbuat daripada padi yang hampir masak, tetapi perlu direndam terlebih dahulu lebih kurang semalaman. Ringgi pula berwarna hijau kerana ia diperbuat daripada padi muda atau padi yang beringgi iaitu buah padi yang sedang berisi dan masih lembut isinya.
Pembuatan Emping
Kegiatan membuat emping dan ringgi di Negeri Kedah adalah kegiatan tradisional turun-temurun. Proses membuat emping dan ringgi ini amat rumit dan melalui berbagai-bagai peringkat yang memakan masa sehingga kira-kira 12 jam. Ia biasanya dilakukan secara bergotong-royong oleh kaum wanita. Oleh kerana kerumitannya, maka kegiatan membuat emping dan ringgi kian dilupai oleh masyarakat petani sekarang.
Proses penyediaan emping dan ringgi biasanya dilakukan semasa para petani menunggu padi masak sepenuhnya untuk dituai. Pada masa ini, para petani tidak melakukan kerja-kerja bertani di sawah masing-masing. Justeru, untuk mengisi masa yang terluang, maka kegiatan membuat emping dan ringgi akan dilakukan. Di samping itu, ia juga dapat mengeratkan hubungan silaturrahim di kalangan mereka.
Proses menyediakan emping dan ringgi melalui empat peringkat iaitu mengetam, mengukur, menggoreng dan menumbuk. Empat peringkat proses penyediaan emping dan ringgi ini nyata sekali dilakukan secara tradisional, tambahan pula peralatan-peralatan yang digunakan juga adalah peralatan tradisional masyarakat petani Negeri Kedah.- Kedahnews.com