"We Are On Time," Kata Ramon Marcote

 
ALOR SETAR - Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) diyakini sedang melakukan perancangan terbaik untuk memilih Ketua Jurulatih yang difikirkan paling layak untuk mengemudi cabaran skuad Lang Merah pada musim depan.

Bekas Penolong Ketua Jurulatih Kedah, Ramon Marcote berkata, walaupun para penyokong mahu dirinya kembali ke negeri ini untuk mengambil alih tanggungjawab sebagai Ketua Jurulatih pasukan, namun masa perlu diberikan bagi kedua pihak untuk berbincang.

"Saya tahu tentang desakan penyokong Kedah yang mahu saya kembali dan mengemudi pasukan Kedah.

"Namun saya juga yakin KFA sedang mengambil masa yang sesuai untuk membuat keputusan," katanya kepada Kedahnews.com ketika dihubungi baru-baru ini.

Mengulas tentang masa yang kononnya lewat untuk mendapatkan khidmat beliau, Marco menjelaskan bahawa perkara berkenaan tidak timbul dan ia dilhat bersesuaian dengan tempoh yang diperlukan.

"We are on time," kata Marco, sekaligus menafikan dakwaan yang mengatakan KFA lewat untuk mendapatkan khidmat beliau semula.

Walau bagaimanapun, Marco mengakui tidak tahu tentang langkah KFA yang seterusnya sama ada akan menawarkan kontrak kepada beliau atau sebaliknya.

Justeru itu, beliau meminta supaya semua penyokong Hijau Kuning supaya bersabar dan memberi ruang kepada KFA untuk membuat keputusan terbaik bagi kepentingan skuad kebanggaan rakyat negeri Kedah itu. - Kedahnews.com