YSB Agih Sumbangan RM48,000 Bantu Mangsa Banjir


ALOR SETAR - Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) mengagihkan sumbangan bernilai RM48,000 kepada 10 daerah yang terbabit dengan bencana banjir di Kedah, bagi menampung kos kerja membaik pulih rumah.

Menurut Pengurus Besarnya, Misbah Abdul Hamid, berkata sumbangan tersebut diberikan kepada pegawai daerah bagi membolehkan ia disalurkan kepada mereka yang layak.

Tambahnya, sumbangan itu turut diserahkan secara berperingkat-peringkat menerusi tiga fasa, iaitu fasa pertama pada Ogos, kedua pada September dan ketiga pada semalam.

"Fasa pertama membabitkan daerah Baling sebanyak RM10,000 manakala, fasa kedua diserahkan kepada daerah Kota Setar sebanyak RM5,000, diikuti fasa ketiga hari ini, iaitu lapan daerah sebanyak RM33,000.

"Lapan daerah itu ialah Kuala Muda, Kulim, Kubang Pasu dan Pendang masing-masing sebanyak RM5,000; daerah Bandar Baharu, Yan dan Langkawi masing-masing RM3,000 manakala daerah Pokok Sena menerima sebanyak RM4,000," katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Bencana Alam di Gunung Keriang, di sini semalam.

Terdahulu, Tunku Temenggong Kedah selaku Pengerusi YSB, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim perkenan menyampaikan sumbangan berkenaan kepada lapan pegawai daerah.

Ujar Misbah, pihaknya juga bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memberi sumbangan makanan dan minuman serta perkakasan mencuci rumah kepada mangsa banjir di setiap daerah.

"Kami juga bekerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memantau banjir dan membawa makanan ke tempat yang sukar dilalui oleh kenderaan biasa," katanya yang dipetik dari BH Online.

Baru-baru ini, negeri Kedah telah dilanda banjir sebanyak tiga kali iaitu pada Ogos membabitkan daerah Baling, September di daerah Kota Setar disusuli kali ketiga membabitkan lapan daerah lagi. -Kedahnews.com