PENYERANG kebangsaan bawah 19 tahun, Zafuan Azeman sedang dalam rundingan bersama Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan mengakui tawaran yang diberikan oleh gergasi utara itu antara yang tersusun setakat ini.
Bagaimanapun beliau yang merupakan penyerang Perlis tidak mahu mengulas lebih lanjut kerana masih lagi mempunyai kontrak bersama Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) sehingga hujung bulan Disember depan.
Menurutnya, selain Hijau Kuning beliau juga turut menerima tawaran daripada beberapa pasukan lain.
"Memang berlaku rundingan antara saya dan KFA tapi buat masa ini biarlah kita hormati prosedur kontrak bagi menjaga kedua-dua belah pihak. Kalau semuanya berjalan lancar, saya akan membuat pengumuman dalam masa terdekat ini.
Saya perlu fikir secara mendalam untuk masa depan saya dan perlu berbincang bersama keluarga terlebih dahulu. Alhamdulilah KFA juga bagi masa yang mencukupi untuk saya fikirkan," katanya kepada Sinar Harian.
Penyerang berusia 18 tahun itu berkata, beliau juga turut menerima beberapa tawaran lain dari beberapa pasukan namun melihat tawaran dari KFA lebih teratur.
Mengulas mengenai tawaran luar negara yang turut diperolehinya, buat masa sekarang beliau fikir perlu membuktikan kemampuannya di Liga Malaysia terlebih dahulu sebelum melangkah keluar beraksi bersama kelab luar negara.
"Tentang tawaran luar negara juga ada namun pada usia sekarang ini lebih baik saya berada di sini untuk memudahkan jurulatih bawah 19 tahun negara memantau saya kerana sasaran terdekat saya adalah beraksi di Kejohanan AFC Bawah 19 Tahun pada Oktober 2018," katanya.
Khabar angin berkenaan Zafuan bakal menjadi penyerang baharu Kedah menjadi bualan di kalangan peminat itu malah rata-rata mereka menyambut baik jika usaha itu menjadi kenyataan.
Bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu pernah berlatih bersama skuad Hijau Kuning pada Pra musim 2017 di bawah kendalian Tan Cheng Hoe.
Sumber: Sinar Online