Zakir Naik Lantik Peguam Malaysia Menjelang Ekstradisi


Dr Zakir Naik melantik sebuah firma guaman di Malaysia, selepas kerajaan India dilaporkan dalam peringkat akhir mengekstradisi pendakwah kontroversi itu ke negara asalnya untuk siasatan berkaitan dakwaan pengubahan wang dan keganasan.

Datuk Shaharudin Ali daripada firma guaman Tetuan Azam Aziz Shaharudin Ali & Co yang berpangkalan di Kuala Lumpur berkata, Zakir yang mempunyai status penduduk tetap di Malaysia sudah mengarahkan pihaknya mengkaji perkara itu.

“Kami hari ini memaklumkan ketua polis negara dan Jabatan Peguam Negara yang salinan dokumen ekstradisi dan/atau waran antarabangsa merujuk anak guam kami, perlu diserahkan kepada kami sebagai peguam cara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

The Hindustan Times semalam memetik jurucakap Kementerian Luar India, Raveesh Kumar sebagai berkata, proses dalaman untuk mengekstradisi Zakir hampir siap.

“Permintaan rasmi untuk bantuan sebuah kerajaan asing dalam kes itu memerlukan proses undang-undang. Kami hampir menyelesaikan proses ini.

“Tidak lama lagi permintaan rasmi akan dibuat kepada kerajaan Malaysia,” katanya.

Rabu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan Putrajaya akan menghantar Zakir ke India, jika menerima permohonan pihak berkuasa negara itu.

“Jika India memohon ekstradisi dikenakan berdasarkan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) kita akan hantar beliau. Setakat ini, tidak ada permohonan yang berkenaan,” kata menteri dalam negeri itu, baru-baru ini.

Zakir yang merupakan penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 2013, disiasat pihak berkuasa India atas dakwaan pengubahan wang dan jenayah berkaitan keganasan.

Pihak berkuasa India mendakwa penceramah berusia 52 tahun itu membiayai keganasan dan Agensi Penyiasatan Kebangsaan (NIA) memfailkan tuduhan terhadapnya di mahkamah, minggu lalu.

Zakir didakwa di bawah Akta Kegiatan Menyalahi Undang-Undang (Pencegahan) kerana didakwa menghasut belia melakukan keganasan dan menyertai kumpulan pengganas global seperti IS.

Sebelum ini, NIA dilaporkan memohon Interpol mengeluarkan notis merah bagi menghalang pengasas Yayasan Penyelidikan Islam (IFR) itu meninggalkan Arab Saudi, selepas beliau berulang kali ingkar memberi kerjasama terhadap siasatan ke atasnya.

Zakir kali terakhir dilihat pada 29 September lalu menyertai solat Jumaat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya. Gambar beliau bersama jemaah dimuat naik ke Facebook dan tersebar di media sosial.

Menurut laporan media, beliau turut menetap di Arab Saudi. 

Sumber: FMT