106 Pelajar Perubatan Tuntut Penjelasan Kuin


KUALA KETIL - Seramai 106 penuntut Kuliyyah Perubatan dan Sains Kesihatan Kolej Universiti Insaniah (Imsa) dan  Permaufakatan Waris Pelajar Perubatan Kuliyyah Perubatan Kuin (Impa) memprotes tindakan pihak pengurusan mengubah program perubatan institusi pengajian itu kepada Cyberjaya University College Of Medical Science (CUCMS).

Difahamkan, Kuin juga tidak menyambung perkhidmatan sebahagian daripada 40 pensyarah kuliyah tersebut.

Pengerusi Imsa, Muhammad Iman Mohd Supian berkata, pentadbiran Kuin dan kerajaan negeri wajar memberikan penjelasan berhubung tindakan yang dibuat tanpa perbincangan bersama pelajar dan waris.

Menurutnya, pelajar dan waris juga tidak didedahkan kandungan MoU.

"Para pelajar dan waris langsung tidak dimaklumkan tindakan memindah progam berkenaan kepada CUCMS.

"Imsa menuntut suara kami didengari. Pentadbiran dan kerajaan negeri perlu memberikan penjelasan telus berhubung kebajikan penuntut," katanya pada sidang media  di Kuliyyah Perubatan Perubatan Sains Kesihatan, Kuin, kelmarin.

Seorang pensyarah yang enggan dikenali berkata, beliau tidak disambung kontrak berkuat kuasa serta merta jam empat petang tadi.

Sementara itu, Pengerusi (Impa), Mohd Yusof Saad berkata, pihaknya kesal Kuin menambahkan lagi beban waris yang berdepan isu bebanan yuran tertunggak dan sebagainya.

"Waris tidak dimaklumkan Kuin secara rasmi, ini mengecawakan. Kami menuntut penjelasan terperinci daripada pentadbiran," katanya.

Dalam pada itu, pentadbiran Kuin memaklumkan akan menjelaskan isu itu dalam tempoh terdekat.

Sumber: Sinar Online