16 Aduan Diterima Berkaitan Susu Rumusan Bayi


KULAI – Sebanyak 16 aduan berkaitan susu rumusan bayi dipercayai tiruan diterima setakat ini daripada pengguna susulan rampasan produk berkenaan awal bulan ini, kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor Khairul Anwar Bachok.

Beliau berkata aduan tersebut meliputi sembilan aduan dari Johor Bahru, enam dari Pontian dan satu dari Batu Pahat.

“Kita telah buat pemeriksaan di premis-premis dan ambil sampel susu untuk dihantar ke makmal Jabatan Kimia untuk diperiksa kandungannya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2017 peringkat Johor di sebuah pusat beli-belah di Senai, dekat sini hari ini.

Berhubung ujian daripada sampel susu rumusan bayi yang dirampas pada 7 Dis lepas, beliau berkata keputusan sampel susu berkenaan hanya akan diketahui pada minggu hadapan.

Menurutnya, ibu bapa yang meragui susu rumusan bayi adalah tiruan, mereka boleh membuat aduan kepada pejabat KPDNKK negeri untuk tindakan susulan.

Khairul Anwar berkata peniaga yang tidak bertanggungjawab dan didapati terlibat dengan penjualan susu rumusan bayi yang dipercayai tiruan akan didakwa mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

Pada 7 Dis lepas, pihak KPDNKK Johor merampas 210 kotak susu rumusan bayi yang dipercayai tiruan dengan nilai dianggarkan RM42,000 selepas menerima aduan daripada pengeluar susu rumusan bayi jenama berkenaan yang mendapat aduan daripada pengguna,

Berhubung skim kawalan harga itu yang bermula semalam dan akan berakhir pada 27 Dis, beliau berkata pegawai KPDNKK ditempatkan di lokasi yang menjadi tumpuan ramai membeli-belah untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.

Sementara itu, katanya sehingga 30 Nov tahun ini, KPDNKK Johor telah mengadakan 35,000 pemeriksaan di seluruh negeri dan berjaya merampas barangan bernilai RM1.64 juta yang melibatkan kesalahan antaranya di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Timbang dan Sukat.

Dalam pemeriksaan itu, katanya sebanyak 769 kes atau peniaga didapati melakukan kesalahan dengan 523 telah dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan manakala bakinya dalam proses dikompaun atau dibawa ke mahkamah. – BERNAMA