1.8 Juta Pengguna Internet Di Malaysia Bawah 18 Tahun


PUTRAJAYA — Jumlah pengguna internet di Malaysia bertambah daripada 2.5 juta pada 2006 kepada 24.5 juta tahun ini, melonjak 880 peratus, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari.

Beliau berkata rakyat Malaysia berusia bawah 18 tahun merangkumi 5.8 peratus atau 1.8 juta daripada pengguna internet di negara ini.

“Kerajaan Malaysia menyusun pelbagai inisiatif  bagi menjamin wujudnya persekitaran dalam talian yang selamat bagi kanak-kanak. Di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu Seksyen 211 dan 233, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat 155 laman sesawang memaparkan kandungan berkaitan penderaan seksual kanak-kanak pada tahun ini,” katanya, lapor Bernama.

Jailani berkata seminar dua hari itu diharapkan menjadi pemangkin terhadap usaha menubuhkan sebuah majlis perlindungan kanak-kanak dalam talian peringkat Asean, sejajar dengan Kerjasama Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Asean 2018.

“Kerjasama ICT 2018 antara negara anggota Asean dan rakan dialognya seperti China, Korea Selatan dan Jepun serta Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) akan lebih memberi fokus terhadap isu perlindungan kanak-kanak dalam talian,” katanya.

Jailani berkata sejak beberapa tahun lepas, Malaysia bekerjasama rapat dengan ITU berkaitan perlindungan kanak-kanak dalam talian.

Di peringkat serantau, kata beliau, pada Mesyuarat Menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat Asean ke-17 di Siem Reap, Kemboja minggu lepas, kesemua 10 negara anggota Asean berikrar untuk meningkatkan fokus dan usaha berhubung perlindungan kanak-kanak dalam talian.

Sebanyak 200 peserta dari negara anggota menghadiri seminar itu, yang akan menyaksikan perkongsian pengalaman, dasar, rangka kerja perundangan dan inisiatif berkaitan perlindungan kanak-kanak dalam talian.

Seminar itu, bertemakan ‘Nurturing Cyber Wellness For Connected Children’  dianjurkan SKMM dengan kerjasama Kementerian Pendidikan; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unicef); Digi Cybersafe dan Generasi Gemilang.

Asean dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Sumber: Suara TV