2 Bekas Pengarah Syarikat Dituduh Pecah Amanah


IPOH – Dua bekas pengarah sebuah syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan pecah amanah melibatkan hak milik tanah syarikat itu kepada nama mereka sendiri, enam tahun lalu.

Azman Hanafiah, 42, dan M. Sundararasoo, 47, yang ketika itu memegang jawatan pengarah Syarikat Rentak Berpadu Piping Sdn Bhd, didakwa pecah amanah dengan menukarkan hak milik tanah syarikat berkenaan di Mukim Sungai Raya, Kinta, Perak kepada nama mereka.

Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan di Pejabat Chew Gi Boo & Co, Ipoh Garden, di sini, pada 9.30 pagi, 8 April 2011.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab manakala Azman diwakili peguam Nurwati Mohamed Mokhtar dan Sundararasoo diwakili peguam Ranjit Singh Sandhu.

Hakim Norashima Khalid kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin (RM50,000 setiap seorang) dan memerintahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah selain melaporkan diri ke balai polis berdekatan setiap sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 23 Jan depan untuk sebutan semula kes. – Bernama