ALOR SETAR - Tindakan dua lelaki cuba mencuri kambing dengan menyumbat masuk ke dalam kereta Honda Jazz gagal selepas perbuatan mereka disedari anggota unit peronda polis (MPV) yang sedang melakukan rondaan di Jalan Carok Nau di sini, pada Isnin.
Dalam kejadian sekitar jam 5.30 petang, anggota MPV yang membuat rondaan di kawasan tersebut terserempak dengan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Mohd Yusuf Shaari berkata, ketika pihaknya membuat pemeriksaan, telah mendapati dua lelaki berusia 33 dan 48 tahun telah memasukkan kambing ke dalam kereta berkenaan.
Tambah beliau, anggotanya terus menahan suspek dan hasil pemeriksaan lanjut menemui tiga ekor kambing berada di tempat duduk belakang dipercayai dicuri.
“Kita turut merampas jarum sumpit, beg galas, botol ubat pelali dan sebatang paip PVC digunakan untuk menyumpit.
“Siasatan dijalankan juga mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau mencuri,” katanya yang dipetik MyMetro.
Mohd Yusuf berkata, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan suspek direman empat hari bermula hari ini. -Kedahnews.com