20 tahun Jalan Di Kampung Pokok Sena Tak Diselenggara


POKOK SENA - Penduduk Kampung Baru, Mukim Lesong mendakwa sudah 20 tahun jalan di kampung mereka tidak diselenggarakan oleh pihak berwajib.

Atas sebab itu penduduk mendesak pihak berkuasa tempatan membaiki dan menurap jalan yang semakin mendap serta berlopak di kawasan berkenaan.

Mat Sod Don, 70, berkata, jalan di kampung itu semakin terhakis dan berlopak hingga mengganggu aktiviti harian penduduk di situ.

Menurutnya, keadaan semakin serius lagi apabila kenderaan berat turut menggunakan laluan itu untuk membawa keluar hasil padi pada setiap musim menuai.

"Kini penduduk terpaksa berhati-hati setiap kali menggunakan jalan itu kerana bimbang bahagian bawah kenderaan mereka akan bergesel dengan permukaan jalan yang tak rata.

"Bagi penunggang motosikal pula mereka terpaksa berhati-hati kerana jalan yang berlopak sering menimbulkan masalah,” katanya.

Mat Sod berkata, selepas pelbagai rayuan dibuat dan tidak mendapat sebarang perhatian, penduduk sendiri  mengambil usaha menambak jalan yang berlopak berkenaan.

Bagaimanapun kerja membaiki tidak mampu bertahan lama dan rosak kembali terutamanya semasa hujan lebat.

Mashitah Awang, 50, pula berkata, ada jalan di kampung itu masih lagi belum diturap dan becak semasa musim hujan.

Katanya, jika menjelangnya musim hujan jalan itu sangat licin dan membahayakan kepada penunggang motosikal.

“Pernah ada kes seorang penunggang motosikal dari luar cedera selepas gagal kawal motosikal sebab jalan licin.

Nasib baiklah penunggang itu tidak mengalami cedera parah.

"Saya harap masalah jalan ini akan dapat perhatian dari pihak berkenaan bagi membaiki dan menurap. Ini disebabkan sejak akhir-akhir ini banyak jalan rosak di kampung berdekatan sudah pun diturap kembali,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lesong Timur, Sarimah Sudin berkata, masalah berkenaan sudah pun dimaklumkan kepada pihak bertanggungjawab dan mendapat perhatian.

Katanya, baru-baru ini pun pihak Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) sudah turun dan meninjau kawasan yang hendak diturap itu.

"Saya berharap penduduk di situ dapat bersabar kerana permohonan bagi menurap jalan bermasalah itu sudah pun dalam proses," katanya.

Sumber: Sinar Harian