2018 Tahun Perangi Najis Dadah Habis-Habisan Di Baling


ALOR SETAR - Tahun 2018 merupakan tahun memerangi najis dadah habis-habisan di daerah Baling, Kedah melalui pelbagai gerakan yang akan dijalankan di semua peringkat termasuk agensi berkaitan.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, satu jawatankuasa biro khas akan ditubuhkan untuk memantau dan seterusnya meme­rangi kegiatan penyalahgunaan dadah tersebut.

“Kita tidak boleh membiarkan gejala ini terus berleluasa dan satu pendekatan mendekati penagih-penagih dadah dilakukan sejak beberapa tahun lalu.

“Saya akan sentiasa mendekati mereka dari semasa ke semasa di mana sahaja di ceruk kampung ini,” katanya yang dipetik Utusan Online.

Berikut adalah kenyataan Abdul Azeez ketika ditemui selepas majlis Sumbangan Pakaian Sera­gam Sekolah di Kompleks Rakan Muda, Batu 42, Pulai di sini semalam.

Tambahnya, kerjasama de­ngan pihak polis, AADK, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jawatankuasa Kerja dan Kese­lamatan Kampung serta orang ramai akan dilakukan supaya perancangan pembasmian dadah dapat dijalankan dengan sebaik-baiknya.

Katanta, sebanyak 1,000 penagih dadah dikenal pasti dan dalam usaha untuk menghantar penagih-penagih yang ingin berubah mendalami ilmu agama serta mengubati penagihan dadah mereka.

“Beberapa tempat seperti pusat pengajian agama di Bandung, Aceh dan Jakarta di Indonesia dikenal pasti sebagai tempat terbaik untuk mereka mendalami ilmu agama dan berubah menjadi insan yang berguna untuk agama, bangsa dan negara.

“Saya percaya sekiranya usaha ini dilakukan berterusan dan de­ngan kerjasama semua pihak pasti ia akan berjaya dan mencapai matlamatnya,” ujar Abdul Azeez.

Melalui Sahabat Azeez Rahim juga kata beliau, pihaknya mendapat kerjasama daripada mereka untuk mengenal pasti tokan dan lokasi-lokasi penjualan dadah ini.

Sementara itu, Ketua AADK Baling, Arnida Ishak berkata, sehingga kini terdapat lebih kurang 750 penagih dadah yang berdaftar dengan AADK yang kebanyakannya berumur 15 hingga 60 tahun.

“Pihak AADK juga sentiasa turun padang dan mendapat kerjasama sepenuhnya daripada orang ramai untuk mengenal pasti lokasi-lokasi panas yang menjadi tumpuan penagih dadah mendapatkan bekalan.

“Saya percaya dengan usaha yang dilakukan oleh Ahli Parlimen serta agensi-agensi kerajaan dan swasta yang lain akan membantu pihak AADK membasmi habis-habisan gejala penagihan dadah ini,” kata Arnida. - Kedahnews.com