21 Jambatan Dikenal Pasti Berisiko Seluruh Negara


KUALA LUMPUR - Kerajaan telah mengenal pasti 21 jambatan yang berisiko tinggi kepada pengguna jalan raya dengan dua daripadanya dalam proses digantikan menerusi pembinaan jambatan baharu, demikian persidangan Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata bagi tujuan penggantian 19 lagi jambatan, kementeriannya telah memohon peruntukan di bawah Rolling Plan Ketiga, Rancangan Malaysia ke-11.

”Ini selaras dengan keputusan kerajaan yang meluluskan kenaikan had berat muatan baharu bagi kenderaan perdagangan di Semenanjung Malaysia  dengan had berat maksimum 50 tan,” katanya menjawab soalan Dr Mansor Abdul Rahman (BN-Sik).

Rosnah berkata jambatan berisiko tinggi itu dikenal pasti menerusi satu kajian  yang dijalankan oleh kementeriannya di jalan-jalan persekutuan dan utama negeri. - Bernama