30 Anggota APM Pendang Bertuah Jalani Latihan Bersama "Amphibious Sealegs"


ALOR SETAR - Kira-kira 30 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pendang bertuah apabila diberi peluang untuk menjalani latihan dengan bot penyelamat Amphibious Sealegs yang merupakan aset terbaru  agensi berkenaan.

Kapten (PA) Mohd Aizat Abdul Ghani berkata, bot penyelamat itu adalah untuk kegunaan APM dalam operasi menyelamat dan menghantar bekalan kepada mangsa sekiranya berlaku banjir di negara ini.

"Untuk kegunaan di laut, ia mampu mencapai 150 kuasa kuda (kira-kira 40 knots). Kalau digunakan di darat, ia boleh mencapai kelajuan 15 km sejam hingga 20 km sejam.

"Kelebihannya adalah di laut atau di air, untuk di darat hanya lebih kepada untuk 'parking' di tempat yang sesuai," jelasnya pegawai APM yang berpangkalan di Pulau Pinang itu.

Bot penyelamat tersebut boleh membawa maksimum seramai 8 penumpang pada satu masa dan dikendalikan paling minimum oleh dua anggota yang terlatih menggunakan aset bernilai kira-kira RM640,000.

Amphibious Sealegs merupakan aset penyelamat terkini buatan New Zealand yang mempunyai panjang keseluruhan 7.13 meter.



APM Kedah semalam menganjurkan program Latihan Pemantapan Kemahiran Pengendalian Bot APM Daerah Pendang mengadapi Monsun Timur Laut (MTL) di Pulau Songsong, di sini, yang dirasmikan oleh Exco Kerajaan Negeri, Datuk Suraya Yaacob.

Kira-kira 30 anggota APM Pendang mengikuti program berkenaan yang memberi fokus kepada kemahiran "water confident", pengendalian bot dan teknik menyelamat mangsa di air yang dikendalikan jurulatih-jurulatih agensi berkenaan.

Program tersebut adalah bertujuan untuk memperkasakan kesiapsagaan agensi berkenaan untuk menghadapi perubahan musim Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku tidak lama lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim pada Julai lalu menjelaskan bahawa APM bakal menerima 29 buah bot Amphibious Sealegs secara berperingkat pada hujung tahun ini.

"Pertambahan aset itu merupakan antara satu komitmen kerajaan dalam usaha memperkasa pengurusan bencana alam sekali gus berupaya memudahkan usaha menyelamat.

"Penerimaan ini bakal menjadikan APM sebagai pemilik terbanyak Amphibious Sealegs di Malaysia," jelas beliau. - Kedahnews.com