4 Nelayan Tempatan Dibebaskan Pihak Berkuasa Indonesia


JOHOR BAHRU – Empat nelayan tempatan dibebaskan oleh pihak berkuasa Indonesia semalam selepas 11 hari ditahan setelah memasuki kawasan pertindihan sempadan antara Malaysia dan Indonesia, 17 Disember lepas.

Pengarah Maritim Daerah Johor Bahru Kapten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata kesemua mereka berada dalam keadaan baik ketika tiba di Jeti Nelayan Perdagangan Pontian pada pukul lima pagi semalam.

Menurut beliau, usaha bagi membebaskan mangsa yang ditahan telah membuahkan hasil melalui satu perbincangan bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan pihak Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI-AL).

“Selepas ditahan, tekong bersama tiga awak-awak itu telah dibawa oleh pihak berkuasa Indonesia ke Tanjung Balai. Semasa dalam tahanan, pemilik bot dapat berhubung dengan tekong dan memaklumkan keadaan mereka semua berada dalam keadaan baik,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Kesemua nelayan dikenali sebagai terbabit Koh Tuan Guan, 53; Abdul Rahman Chia, 52; Teo Chin Heng, 49; dan Sani Mohd Sood, 38.

Mereka ditahan oleh pihak berkuasa negara jiran semasa melakukan aktiviti menangkap ikan pada 17 Disember lalu pada pukul 1.30 tengah hari di sempadan perairan Malaysia-Indonesia, kira-kira 10.7 batu nautika dari barat daya, Pulau Pisang, dekat Pontian.

​​​​​​Syed Nor Adli berkata pihaknya akan sentiasa berusaha untuk membantu komuniti maritim dalam memastikan aktiviti mereka selamat ketika berada di laut. – BERNAMA