MUSIM cuti sekolah sebagai penutup tahun 2017 kini menjelma lagi.
Bagi mereka yang merancang untuk bercuti ke luar negara bersama anak-anak, kebimbangan menaiki kapal terbang pasti terlintas di fikiran.
Bagaimana jika anak-anak buat perangai atau menjerit sepanjang penerbangan? Atau ibu bapa keletihan melayan ragam mereka sebelum sempat percutian bermula?
Memetik laporan laman web perbandingan tambang penerbangan terkemuka, Skyscanner, masalah bercuti bersama anak-anak boleh dielakkan dengan mengamalkan beberapa tips yang dikongsi oleh juara kepenggunaan, Sarah Willingham.
Berikut adalah lima tips yang perlu anda ambil tahu sebelum memulakan penerbangan:
1. Fahami peraturan dan larangan yang ditetapkan oleh setiap syarikat penerbangan
Setiap syarikat penerbangan mempunyai garis panduan masing-masing, ada yang mengenakan caj tertentu dan ada juga yang menawarkannya secara percuma.
Cuba bina jadual perbandingan tentang harga tiket termasuk bayi, caj bagasi dan tambahan tempat duduk bagi anak kecil dan keutamaan pas masuk.
2. Buat perancangan rapi
Tips oleh penulis blog daripada majalah keibubapaan atas talian Honest Mum, Vicki pula adalah 'biar terlebih rancang' asalkan tidak berdepan dengan masalah kemudian hari.
"Anda tidak akan pernah 'terlebih' bawa tisu basah dan snek! Penuhkan beg dengan snek, permainan, pemain DVD mudah alih (amat berguna sekiranya pesawat itu tiada hiburan in-flight)
Pastikan juga anda membeli air minuman sebaik selesai daftar masuk. Bawa juga baju lebih dan ubat sebagai langkah berjaga-jaga.
3. Tulis nota kepada penumpang lain
Bimbang penumpang lain membenci anda jika anak mengamuk? Apa kata ambil hati mereka dengan memberikan sepaket gula-gula atau saguhati berserta nota meminta maaf sebelum apa-apa berlaku.
4. Bawa permainan
Bawa permainan yang mudah dibawa dan tidak memerlukan kos yang tinggi untuk membuatkan anak anda leka sepanjang penerbangan tersebut.
5. Gunakan beg galas
Jadikan beg galas sebagai hand luggage agar pergerakan anda lebih mudah. Lebih-lebih lagi jika anda perlu mendukung anak kecil untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain.
Sumber: Mstar Online