PENDANG – Polis menyelesaikan siasatan lapan kes pecah rumah sekitar daerah ini melibatkan kerugian hampir RM250,000 setelah menumpaskan ‘Geng Mani’ dengan memberkas tiga lelaki secara berasingan pada 20 dan 26 Nov lepas.
Ketua Polis Daerah Pendang DSP Fadzil Hashim berkata suspek pertama berusia lingkungan 40-an itu ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Muadzam Shah dekat Rompin di Pahang pada 20 Nov lepas.
Beliau berkata dua lagi suspek berumur 40-an dan 50-an itu masing-masing ditangkap dalam serbuan di Sungai Dua, Pulau Pinang dan Sungai Petani, Kedah pada pukul 10 pagi 26 Nov.
“Penahanan suspek pertama ini membawa kepada penahanan dua lagi rakannya tersebut. Hasil soal siasat yang dijalankan terhadap ketiga-tiga suspek mereka mengaku terlibat dalam lapan kes pecah rumah di sekitar daerah Pendang sejak Februari hingga Mac lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang di sini semalam.
Fadzil berkata modus operandi geng itu adalah dengan menyasarkan rumah yang mempunyai kawasan sawah atau tanah kosong di belakang rumah agar memudahkan mereka melakukan jenayah berkenaan.
“Geng ini ada tiga lelaki ini sahaja dan mereka juga akan membuat rondaan dengan kereta di kawasan dikenal pasti sebelum memecah masuk rumah terbabit untuk mencuri barangan berharga bermula pukul 7 malam hingga 12 tengah malam terutama rumah tidak ada penghuni,” katanya.
Beliau berkara dengan tertangkapnya tiga lelaki itu pihak polis turut merampas peralatan pecah rumah seperti lampu suluh, gergaji besi, pemutar skru dan sarung tangan.
“Turut dirampas dua utas jam tangan berjenama, dua (komputer) tablet, seunit telefon bimbit dan beberapa resit pajak gadai untuk siasatan,” katanya.
Katanya semakan lanjut polis juga mendapati kesemua suspek berkenaan mempunyai rekod kesalahan lampau termasuk kes samun dan penyalahgunaan dadah.
Fadzil berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 14 tahun dan juga didenda. – BERNAMA