BATU PAHAT - “Kami merayu orang ramai yang menemui dompet abang supaya memulangkannya kepada kami,” rayu Nor Azian Twosiman, 31, adik perempuan kepada Helmi, 37, yang terbunuh selepas kenderaan jenis Hyundai Atoz dipandunya bertembung lori di Jalan Besar Parit Sulong di sini, jam 12 tengah hari semalam.
Nor Azian berkata, dompet berisi MyKad, lesen memandu dan kad OKU milik arwah hilang dalam kejadian itu.
“Arwah abang maut dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas berniaga di Pasar Pagi Parit Sulong,” katanya.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, siasatan mendapati Helmi cuba memotong kenderaan lain namun gagal menyebabkannya bertembung lori dari arah bertentangan.
Menurutnya, Helmi maut akibat parah di badan dan kepala dan dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan.
Sumber: MyMetro