AES Rekod 417,684 Kesalahan Pemandu Seluruh Negara


KUALA LUMPUR - Sebanyak 417,684 kesalahan lalu lintas pengguna jalan raya dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak 15 April lalu hingga semalam menerusi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah Operasinya, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, jumlah tersebut melibatkan dua kesalahan iaitu memandu melebihi had laju ditetapkan serta melanggar lampu isyarat di 21 AES seluruh negara.

“Bagi kesalahan had laju menerusi sistem AES yang dipasang di 17 lokasi seluruh negara, kita mengesan 385,474 kesalahan. Sementara kesalahan melibatkan melanggar lampu isyarat pula sebanyak 32,210 di empat lokasi utama,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas me­nyertai Op Patuh 2017 di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Rawang arah selatan dekat sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md. Taib.

Wan Ahmad Uzir menjelaskan, Kilome­ter 375.9, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) Slim River arah utara antara lokasi yang merekodkan jumlah kesalahan tertinggi melibatkan had laju sebanyak 72,624 kes.

Tambahnya, Jalan Ipoh pula mencatatkan jumlah kesalahan lampu isyarat tertinggi dengan 17,786 kes.

“Untuk meningkatkan lagi pe­nguatkuasaan, sebanyak 11 lagi AES akan dipasang di seluruh negara yang mula beroperasi selewat-lewatnya awal tahun depan,” jelasnya.

Dalam perkemba­ngan lain, Wan Ahmad Uzir menjelaskan, Op Patuh 2 yang bermula 25 November lalu hingga 31 Disember depan melibatkan 1,200 anggota serta 60 pasukan peronda di seluruh negara bersempena cuti sekolah, Hari Krismas dan Tahun Baharu.

Menurutnya, seta­kat ini, sebanyak 36 buah kende­raan disita dengan jumlah ke­salahan yang dicatatkan pada Op Patuh 2 sebanyak 1097 kes.

“Berdasarkan statistik, antara jumlah kesalahan tertinggi melibatkan kesalahan tidak me­ngenakan tali pinggang keledar iaitu sebanyak 398 kes diikuti tidak mematuhi lampu isyarat (308 kes) serta penggunaan te­lefon bimbit (187 kes),” ujarnya.

Sumber: Utusan Online