KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail menyifatkan Majlis Sukan Negara (MSN) tidak profesional dan `bermain politik' apabila menggugurkan sepak takraw daripada program sukan teras.
"Saya cabar Ketua Pengarah MSN (Datuk Ahmad Shapawi Ismail) untuk membuat kira-kira. Beliau mengatakan sudah 10 tahun sepak takraw disenarai dalam sukan teras, namun hakikatnya tidak sampai kerana ia dimasukkan sebagai sukan teras pada 2008 selepas program itu dimulakan pada 2007.
"Permainan politik apakah dalam MSN? Sila keluar dan sertai politik... (MSN) buat kerja majukan sukan. Siapa pengganti Datuk Lee Chong Wei? Siapa pengganti Datuk Nicol David?
"Bila program berjaya, MSN mendakwa ia disebabkan mereka. Namun jika gagal, persatuan dipersalahkan sedangkan program diputuskan secara bersama," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas Ahli Majlis Tertinggi PSM, di sini, lewat malam tadi.
Minggu lalu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan sepak takraw bersama angkat berat dan taekwondo digugurkan daripada senarai program sukan teras Majlis Sukan Negara (MSN).
Selain, tiga sukan berkenaan juga tidak akan dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak. Keputusan itu dicapai pada mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN di ibu negara.
Antara alasan pengguguran daripada sukan teras berkenaan adalah kerana tidak menunjukkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan sejak berada di dalam program itu.
Mengulas lanjut, Ahmad menolak cadangan supaya MSN mengambil-alih pembangunan sukan sepak takraw apabila menyifatkan agensi kerajaan berkenaan pernah gagal sebelum ini.
"Mereka pernah gagal suatu masa dulu, sedangkan apabila PSM ambil alih sejak 2003, kita meraih emas 2005 (Sukan SEA). Sudah pasti ada naik turun kerana sukan ada masanya menang dan kalah. Bola sepak juga tidak selalu menang.
"Pada 2015 kita pernah mengadakan bengkel dan mengeluarkan blue print bagi tempoh lapan tahun dan kini hanya tiga tahun. MSN tidak profesional, jika tidak mempunyai wang, katakan saja. Jangan putar belit.
"Saya pernah memohon selama lapan tahun untuk mendapatkan khidmat pakar psikologi bagi mengubah dan membentuk karektor pemain, namun MSN tidak mampu memberikannya," katanya.
Ahmad Shapawi sebelum ini menyatakan prestasi pasukan sepak takraw kebangsaan di Sukan SEA merosot dan tidak pernah memenangi pingat emas sekiranya pasukan Thailand mengambil bahagian dalam acara yang sama.
Bagi peringkat Sukan Asia pula, katanya, pasukan kebangsaan berada di belakang Korea Selatan yang satu masa dulu mendapat suntikan jurulatih Malaysia di dalam membangunkan sukan sepak takraw.
Malah aspek pembangunan juga tidak diberikan tumpuan secara menyeluruh dan keupayaan negara untuk mempertahankan kedudukan ranking dunia turut digugat oleh negara lain.
Ahmad turut membidas Ahmad Shapawi yang meragui kemampuan PSM untuk memenangi emas pertama kontinjen negara pada temasya Sukan SEA di sini, pada Ogos lalu.
"Dua emas diletakkan sebagai sasaran menerusi perbincangan jurulatih dan MSN. Saya tahu beliau tidak percaya kami mampu meraih emas pertama namun memanah (aksi final berlangsung pada hari yang sama) gagal melakukannya.
Hargailah sumbangan kami, bagaimana anda mahu menafikannya," katanya.
Ahmad turut menyifatkan peluang seharusnya diberikan sehingga Sukan Asia sekiranya gagal, mereka perlu duduk berbincang.
"(Keputusan dilakukan) tidak bermoral dan tidak mengikut adat orang Malaysia," katanya.
Sumber: BH Online