Akhirnya Mahfuz Tinggalkan PAS, Bakal Sertai Pakatan Bila Tiba Masa


ALOR SETAR- Setelah 34 tahun berada di dalam PAS, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar akhirnya  mengambil keputusan untuk meninggalkan parti itu, iaitu malam tahun baharu 2018, berkuatkuasa pada jam 11.49 malam ini.

Mahfuz yang juga bekas Naib Presiden dan bekas Ketua Pemuda PAS Pusat berkata, keputusan itu diambil selepas PAS tidak lagi berjuang untuk kepentingan  rakyat, umat Islam dan tiada hasrat untuk memerintah kerajaan Pusat.

Bagaimanapun Mahfuz tidak menyatakan parti yang akan disertai dan hanya akan membuat keputusan itu dalam masa terdekat, iaitu sebelum PRU14.

"Saya telah mengajak PAS bergabung dengan Pakatan Harapan, tetapi mereka menolaknya. Fasa kedua ialah mengajak ahli PAS menyertai Pakatan yang dilihat berjaya.

Kini adalah fasa ketiga, iaitu masa untuk saya membuat keputusan bagi meninggalkan PAS setelah parti itu menutup pintu untuk sertai pakatan," kata pada sidang  media di sebuah hotel di sini hari ini.

Beliau berkata surat pemberhentian keahlian akan dihantar kepada Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, melalui emel petang ini.

Selain Mahfuz, turut mengambil tindakan sama ialah isteri beliau, Datin Ruswati Jaafar, 58 dan anak mereka, Siti Nur Syahidah, 30. Seorang lagi anak beliau, Muhammad Mujaheed, 35, sudah keluar parti setahun lalu

Selepas jam 12 tengah malam ini kata Mahfuz beliau adalah ahli Parlimen Bebas Pokok Sena.

Mahfuz berkata, beliau tidak sedih meninggalkan PAS yang disertainya sejak 1984, tetapi sedih dengan apa yang berlaku terhadap PAS sekarang ini, perjuangan tidak seperti zaman bekas Presiden Allahyarham Datuk Fadzil Noor. 

Sementara itu, kata Mahfuz beliau mengambil "tempoh bertenang" untuk memikirkan sama ada kekal sebagai ahli bebas pada PRU 14 atau menyertai parti lain dalam Pakatan Harapan.

Sebelum ini Mahfuz dibidas teruk  oleh pemimpin PAS kerana menyerang parti dan pemimpin walaupun masih berada di dalam PAS.

PAS juga sebelum ini menyatakan Mahfuz tidak akan dicalonkan semula di kawasan Pokok Sena pada PRU14. 

Beliau mewakili kawasan Pokok Sena selama tiga penggal dan pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS negeri Kedah.

Menurut Mahfuz lagi, keputusannya untuk keluar PAS juga tidak mengikat dirinya dengan 'baiah' atau lafaz ikrar atau ditawarkan apa-apa jawatan.  - Kedahnews